rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Kita Semua Ada 24 Jam Sehari. Tapi Kita Tak Semua Ada 24 Jam Yang Sama.

Aku cuba letak lokasi dari rumah ke ofis dalam Google Maps.

Tempat mula sama. Destinasi pun sama. Tapi masa yang diperlukan untuk sampai ke tempat kerja berbeza mengikut cara kita bergerak.

🚗 Naik kereta: 52 minit.

🏍️ Naik motor: 39 minit, sebab boleh menyelit di celah-celah kereta yang sedang sesak.

🚆 Naik pengangkutan awam: Lebih 2 jam untuk sampai ke destinasi yang sama.

Kalau naik kereta pula, ada pilihan untuk guna tol atau jalan biasa. Tak guna tol mungkin jimat duit, tetapi masa perjalanan mungkin jadi lebih lama.

Kalau bekerja dari rumah, tak perlu pun habiskan masa di jalan raya untuk pergi kerja.

Matlamat semua orang sama: nak sampai ke tempat kerja.

Tapi masa yang perlu dikorbankan tak sama.

Di sinilah kita nampak bahawa bukan semua orang mempunyai peluang yang sama untuk menggunakan masa mereka.

Bila kita ada duit, kita sebenarnya mempunyai lebih banyak pilihan untuk menjimatkan masa.

Kita boleh pilih untuk guna tol daripada menghabiskan masa di jalan biasa.

Kita boleh naik Grab atau mengupah pemandu supaya masa dalam perjalanan boleh digunakan untuk membalas e-mel, membuat panggilan kerja atau menyelesaikan urusan lain.

Kita boleh membayar orang lain untuk melakukan sesetengah tugas supaya kita mempunyai lebih banyak masa untuk perkara yang lebih penting.

Atau kita mempunyai pekerjaan yang membolehkan kita bekerja dari rumah, sekali gus menghapuskan masa perjalanan pergi dan balik.

Secara tidak langsung, duit membolehkan kita membeli semula masa yang sebelum ini terpaksa kita korbankan.

Sudah tentu, masa yang dijimatkan tak semestinya menjadi masa yang produktif. Dan bukan semua orang mampu membayar untuk mendapatkan pilihan-pilihan ini.

Tetapi itulah hakikatnya.

Kita selalu dengar orang cakap:

“Kita semua ada 24 jam sehari. Kalau orang lain boleh berjaya, kenapa kita tak boleh?”

Persoalannya, adakah kita benar-benar bermula dari keadaan yang sama?

Ada orang habiskan 30 minit untuk pergi kerja. Ada orang habiskan 2 jam.

Ada orang boleh bekerja dari rumah. Ada orang perlu keluar seawal pagi dan pulang ketika hari sudah gelap.

Ada orang boleh bayar untuk menjimatkan masa. Ada orang terpaksa memilih untuk berjimat walaupun perlu mengorbankan lebih banyak masa.

Jadi, apabila kita melihat seseorang mampu melakukan lebih banyak perkara dalam sehari, jangan terus anggap dia lebih rajin, lebih cekap atau lebih pandai mengurus masa.

Mungkin betul.

Tetapi mungkin juga dia mempunyai lebih banyak sumber, sokongan dan pilihan yang membolehkannya menggunakan masa dengan cara yang berbeza.

Sebab itulah, bagi aku, perancangan kewangan bukan sekadar tentang mengumpul duit, membeli aset atau mencapai angka tertentu dalam akaun bank.

Duit juga tentang membeli pilihan. Dan salah satu pilihan yang paling bernilai ialah masa.

Masa untuk keluarga. Masa untuk berehat. Masa untuk menjaga diri. Masa untuk melakukan perkara yang kita suka.

Akhirnya, matlamat kita bukan semata-mata untuk mempunyai lebih banyak duit daripada orang lain.

Tetapi untuk mempunyai sumber kewangan yang mencukupi supaya kita mempunyai lebih banyak kawalan terhadap cara kita menggunakan masa sendiri.

Sebab kita semua memang ada 24 jam sehari. Tetapi kita tak semua mempunyai kebebasan yang sama untuk menentukan bagaimana 24 jam itu digunakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *