rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

PRE-BUDGET 2027: Apa Yang Aku Tunggu Sebagai Financial Planner?

Setiap kali masuk bulan Oktober, antara benda yang aku tunggu sejak jadi financial planner ialah pembentangan Belanjawan untuk tahun berikutnya.

Bukan sebab nak tengok berapa banyak duit kerajaan nak belanjakan semata-mata.

Aku specifically nak tengok apa impak pengumuman tersebut kepada individu dan keluarga.

Ada cukai baharu ke? Ada pelepasan cukai yang diperkenalkan atau dimansuhkan? Ada bantuan yang boleh dimanfaatkan? Ada perubahan dasar yang boleh mempengaruhi keputusan kewangan seseorang?

Benda-benda ni mungkin nampak kecil kepada sesetengah orang, tapi bagi aku, ia boleh memberi kesan kepada perjalanan kewangan klien-klien aku untuk tahun depan.

Jadi, sebagai financial planner mereka, aku kena ambil tahu.

Antara perkara yang aku nak tengok dalam Budget 2027 nanti:

1. Pelepasan cukai SSPN

Adakah pelepasan cukai SSPN akan diteruskan selepas 2027? Ada perubahan dari segi jumlah atau syarat kelayakan?

Aku juga tertanya-tanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan pelepasan cukai secara berasingan untuk ibu dan bapa, berbanding aturan semasa yang tertakluk kepada had pelepasan dan syarat tuntutan yang ditetapkan.

Ini penting untuk ibu bapa yang sedang merancang simpanan pendidikan anak-anak.

2. Pengecualian cukai pendapatan luar negara bagi unit trust

Pengecualian cukai untuk kategori pendapatan tertentu daripada sumber luar negara yang diterima di Malaysia, termasuk yang melibatkan unit trust, dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2026.

Adakah kerajaan akan melanjutkannya?

Kalau tiada lanjutan, apakah implaknya kepada pelabur dan industri unit trust?

Ini antara perkara yang boleh mempengaruhi pertimbangan pelaburan, bergantung pada keadaan dan struktur pelaburan masing-masing.

3. Pelepasan cukai yuran penjagaan anak

Pelepasan cukai berkaitan yuran penjagaan anak juga antara perkara yang aku nak perhatikan.

Adakah ia akan diteruskan selepas tempoh semasa? Adakah skop atau had pelepasan akan diperluaskan?

Bagi ibu bapa yang bekerja, kos penjagaan anak bukan kecil. Sebarang perubahan boleh memberi kesan kepada cash flow isi rumah.

4. Pelepasan cukai berkaitan EV

Pelepasan cukai berkaitan pemasangan, penyewaan atau penggunaan kemudahan pengecasan EV juga perlu diperhatikan, khususnya insentif yang dijadualkan tamat pada 2027.

Kalau tiada lanjutan, apakah kesannya kepada pengguna yang merancang membeli EV dan industri EV secara keseluruhan?

5. Insentif pemasangan solar di rumah

Dengan kenaikan bil elektrik, aku nak tengok sama ada kerajaan akan meneruskan program rebat solar kediaman sehingga RM3,000 yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2026.

Atau mungkin ada insentif lain, termasuk pelepasan cukai untuk pemasangan sistem solar di rumah?

Kalau insentif berkaitan pengecas EV boleh dipertimbangkan, mungkin sudah tiba masanya kerajaan melihat bagaimana insentif yang serupa boleh membantu isi rumah mengurangkan kos elektrik untuk jangka panjang.

6. Semakan pelepasan cukai individu

Ini antara perkara yang aku paling nak tengok.

– Pelepasan diri sendiri: RM9,000 — kali terakhir disemak pada 2010.

– Pelepasan pasangan: RM4,000 — sudah lama tidak disemak.

– Pelepasan anak: RM2,000 seorang — antara kadar yang perlu dinilai semula berdasarkan perubahan kos sara hidup.

Kos hidup hari ini tak sama dengan kos hidup 10 atau 15 tahun dahulu.

Kalau pendapatan dan perbelanjaan isi rumah dah berubah, adakah sudah tiba masanya pelepasan cukai ini dinilai semula?

7. Adakah GST akan diperkenalkan semula?

Adakah kerajaan akan mengumumkan sebarang langkah berkaitan pengenalan semula GST untuk memperkukuh kutipan hasil negara?

Kalau perkara ini dibangkitkan, aku nak faham bagaimana reka bentuk cukai tersebut, mekanisme pengecualian, dan langkah mengurangkan kesannya kepada isi rumah berpendapatan rendah akan dipertimbangkan.

Sebab akhirnya, kita bukan sekadar nak tengok berapa banyak hasil kerajaan boleh kutip. Kita juga kena faham siapa yang akan menanggung kesannya.

8. Pelepasan cukai untuk khidmat perancangan kewangan

Sebagai financial planner, ini antara perkara yang aku harap kerajaan akan pertimbangkan.

Buat masa ini, bayaran untuk mendapatkan khidmat perancangan kewangan profesional tidak mempunyai pelepasan cukai individu yang khusus secara umum.

Kalau kerajaan memperkenalkan pelepasan cukai untuk khidmat perancangan kewangan yang layak, adakah ia boleh menggalakkan lebih ramai rakyat mendapatkan nasihat profesional?

Dan adakah ia boleh membantu lebih ramai financial planner membangunkan amalan perancangan kewangan berasaskan fi, tanpa terlalu bergantung pada pendapatan daripada pelaksanaan produk?

Bagi aku, ini bukan sekadar soal industri. Ia juga soal akses kepada nasihat kewangan yang lebih menyeluruh.

Ini antara perkara yang aku akan perhatikan menjelang Budget 2027.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *