rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

TAK SEMUA KEGAGALAN AKAN MENJADIKAN KITA LEBIH KUAT

Aku nampak satu quote ni masa tengah scroll FB Reels.

Lebih kurang maksudnya:

“View setbacks as stepping stones for growth. Embracing challenges builds resilience and sharpens your financial habits…”

Dua tiga kali aku baca.

Aku setuju.

Kegagalan dan kejatuhan memang boleh menjadikan kita lebih kuat.

Tapi ada satu syarat.

Kita kena belajar daripada kejatuhan itu dan bangun semula.

Sebab kalau kita jatuh, tapi masih dalam mode denial…

Masih ulang kesilapan yang sama…

Masih tak mahu terima realiti…

Masih rasa kita boleh recover dengan cara yang sama…

Kegagalan itu bukan lagi batu loncatan.

Ia boleh menjadi kitaran yang berulang-ulang.

Aku pernah kenal seorang usahawan yang satu ketika dulu memang berada di atas.

Keluar TV, radio, surat khabar.

Hidup mewah.

Circle pun terdiri daripada artis, pelakon, politician dan orang-orang berpengaruh.

Kemudian berlaku beberapa kesilapan dalam percaturan bisnes.

Bisnes jatuh.

Aset mula dijual.

Hutang semakin banyak.

Tapi lebih 10 tahun kemudian, dia masih belum benar-benar recover.

Masih mencari projek besar.

Masih mengejar peluang yang boleh “ubah keadaan” dengan cepat.

Ada projek yang berjaya close, tetapi selepas kerja dibuat, payment yang dijanjikan pula tak diterima.

Hutang masih keliling pinggang.

Aku pernah nasihatkan:

Buat benda kecil dulu.

Kurangkan commitment bulanan.

Cari cashflow yang lebih stabil.

Mula bayar hutang.

Bina semula momentum.

Tak perlu terus kembali kepada kehidupan yang pernah ada.

Tapi dia masih mahu mencari satu projek besar yang boleh mengeluarkan dia daripada masalah dengan cepat.

Masalahnya, kadang-kadang kita terlalu sibuk mencari jalan untuk kembali kepada kehidupan lama sehingga kita tak sedar kehidupan lama itulah sebahagian daripada masalah kita.

Tapi aku juga pernah melihat cerita yang sangat berbeza.

Seorang klien yang pernah berada pada titik yang sangat rendah dalam kewangan.

Tak ada simpanan.

Hutang keliling pinggang.

Tetapi pada masa itu dia sedar:

“Aku tak boleh selesaikan masalah ini dengan cara yang sama yang menyebabkan aku berada dalam masalah ini.”

Dia cari bantuan.

Dia sanggup dengar.

Dia ubah cara menguruskan kewangan.

Perlahan-lahan dia bina semula.

Tujuh tahun selepas titik terendah dalam kewangan dia, hari ini dia hidup dengan sangat selesa.

Daripada tiada simpanan dan hutang keliling pinggang, sekarang sudah ada lebih RM600,000 dalam simpanan dan pelaburan tunai.

Dia pernah cakap kepada aku:

“Rezeki saya masa jatuh dulu ialah saya akhirnya cari jalan untuk dapatkan bantuan.”

Dan sebenarnya, itulah perbezaannya.

Bukan siapa yang pernah jatuh.

Ramai orang jatuh.

Tetapi siapa yang sanggup mengakui:

«“Apa yang aku buat sebelum ini tak berkesan. Aku kena buat sesuatu secara berbeza.”»

Sebab itu aku selalu rasa kita tak semestinya perlu belajar melalui pengalaman kita sendiri.

Pengalaman memang boleh mendewasakan kita.

Tetapi siapa kata kita mesti mengalami sendiri pengalaman itu?

Kalau kita baca tentang orang yang berhutang keliling pinggang, jangan tunggu sampai kita sendiri berhutang baru nak belajar bagaimana mengurus hutang.

Lebih baik kita belajar bagaimana mengurus kewangan supaya kita tak perlu berhutang sedemikian rupa.

Kalau kita baca tentang orang yang kena scam, jangan sekadar fikir:

“Nasib baik aku takkan kena.”

Sebaliknya, belajar bagaimana scam berlaku dan apa yang kita boleh buat supaya kita sendiri tidak menjadi mangsa.

Kalau kita nampak orang gagal dalam bisnes kerana terlalu banyak leverage, belajar daripada dia.

Kalau kita nampak orang kehilangan kekayaan kerana lifestyle yang terlalu tinggi, belajar daripada dia.

Kalau kita nampak orang terpaksa menjual aset untuk membayar hutang, belajar daripada dia.

Kos belajar daripada kesilapan orang lain jauh lebih murah daripada belajar daripada kesilapan sendiri.

Jadi ya…

Kegagalan boleh menjadi batu loncatan.

Tetapi hanya kalau kita belajar daripadanya.

Kalau tidak, kesilapan yang sama akan terus berulang.

Dan seperti penyakit yang dibiarkan tanpa rawatan, masalah kewangan yang tidak diselesaikan bukan sahaja kekal.

Ia boleh merebak dan menjadi semakin teruk.

Jangan tunggu sampai kita jatuh untuk belajar.

Belajarlah daripada orang yang sudah jatuh.

Supaya kita tak perlu bayar harga yang sama untuk mendapatkan pelajaran yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *