rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Kau bersusah payah kumpul USD30 juta, tapi dalam masa 7 tahun, semua habis.

Semalam aku ternampak satu video pasal bekas peninju China ni. Kebetulan pula, hari yang sama aku baru habis sesi presentation financial plan dengan seorang klien.

Klien ni umur 37 tahun. Target dia nak bersara pada umur 50 tahun dan belanja sekitar RM20,000 sebulan (dengan mengambil kira inflasi 4%) sehingga umur 85 tahun.

Bila buat kiraan, berdasarkan jangkaan pulangan portfolio dia sekarang, dia perlukan hampir RM11 juta. Dia rasa angka tu terlalu besar dan mustahil nak capai.

Aku cakap dekat dia…

“Gap tu memang nampak besar kalau kita tak ubah apa-apa.”

Tapi bila kita mula reallocate aset supaya duit bekerja dengan lebih efisien, setiap kenaikan kadar pulangan portfolio akan mengurangkan jumlah yang perlu dikumpulkan.

Kalau tak buat apa-apa, 13 tahun lagi pun gap tu mungkin masih kekal sebagai gap.

Itu cerita orang yang sedang berusaha membina dana persaraan.

Sekarang cerita bekas peninju tadi pula.

Dia merupakan pemenang 2 pingat emas Olimpik dan dikatakan berjaya mengumpul sekitar USD30 juta selepas bersara.

Dengan jumlah tu, kalau hanya gunakan kadar pengeluaran sekitar 4% setahun, dia boleh belanja kira-kira USD1.2 juta setahun, atau lebih kurang USD100,000 sebulan.

Sepatutnya hidup dah sangat selesa.

Tapi isterinya mencadangkan supaya duit itu “dikembangkan”.

Mula-mula buka gym tinju mewah.

Gagal.

Kemudian melabur dalam hampir 20 perniagaan.

Gagal lagi.

Lepas tu cuba pula P2P lending dan crypto untuk pulihkan kerugian.

Pun gagal.

Yang lebih mengejutkan, isterinya dikatakan mempunyai MBA.

Hari ini, daripada memiliki USD30 juta, mereka dilaporkan menanggung hutang sekitar 200 juta yuan.

Apa yang kita boleh belajar?

1. Membina dana persaraan bukan mudah. Ia mengambil masa yang panjang, disiplin dan kesabaran.

2. Bila dah berjaya kumpul, fokus pula kepada menjaga apa yang dah dibina. Tak semua orang sesuai jadi usahawan atau pelabur berisiko tinggi.

3. Jangan cuba mengambil risiko yang lebih besar semata-mata nak menutup kerugian. Selalunya, kerugian boleh jadi semakin besar.

4. Kalau tak pasti apa yang patut dibuat, dapatkan pandangan daripada mereka yang benar-benar berpengalaman, berilmu dan mempunyai rekod prestasi yang baik.

Membina kekayaan memang susah. Kehilangannya pula kadang-kadang hanya perlukan beberapa keputusan yang salah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *