Inilah masalah bila semua perkara dalam rumah tangga cuba diterjemahkan kepada nilai wang semata-mata.
Kalau seorang suami menggajikan pembantu rumah dengan gaji RM1,700 sebulan, itu bermaksud dia menggunakan sebahagian daripada pendapatannya untuk mengurangkan beban kerja isteri di rumah. Nilai yang diterima oleh keluarga bukan sekadar wang tunai yang masuk ke tangan isteri, tetapi juga masa, tenaga dan bantuan yang disediakan.
Dalam keluarga lain pula, mungkin tiada pembantu rumah. Suami hanya mampu memberi RM300 sebulan sebagai duit belanja kepada isteri, tetapi pada masa yang sama dia tetap menyediakan keperluan keluarga, tempat tinggal, makanan, utiliti dan perkara-perkara lain mengikut kemampuan yang ada. Itu juga tidak semestinya salah.
Kalau suami mampu memberi lebih, itu sesuatu yang baik dan digalakkan. Kalau belum mampu, apa yang penting ialah dia berusaha menunaikan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin mengikut kemampuan.
Hubungan suami isteri bukan hubungan majikan dan pekerja. Ia bukan transaksi perkhidmatan di mana setiap kerja perlu diletakkan harga dan setiap pengorbanan perlu dibayar mengikut kadar pasaran.
Suami berkorban dengan caranya. Isteri juga berkorban dengan caranya.
Apabila semua perkara mula dikira seperti transaksi perniagaan, siapa buat lebih, siapa beri lebih, siapa patut dibayar lebih. Hubungan akan menjadi semakin berkira. Sedangkan asas sebuah perkahwinan ialah kerjasama, kasih sayang, toleransi dan sikap saling melengkapi.
Bukan bermaksud pasangan tidak boleh berbincang tentang kewangan atau keperluan masing-masing. Tetapi tidak semua nilai dalam rumah tangga boleh diukur dengan wang.
Kadang-kadang, perkara yang membuatkan sesebuah perkahwinan bertahan bukan kerana siapa memberi paling banyak, tetapi kerana kedua-duanya sanggup bertolak ansur dan saling menghargai apa yang diberikan oleh pasangan masing-masing.
