Makan Maggi.
Maggi ni dah jadi sinonim dengan orang yang tak ada duit.
Aku makan malam ni bukan sebab tak ada duit. Cuma terasa nak makan sebab dah lama tak makan. Kalau favourite aku, sama ada campur Maggi ayam dengan kari, atau Mamee Ayam Pedas Shiitake (yang ni susah sikit nak jumpa) bila teringin makan mi segera.
Tapi sebenarnya aku bukan nak bercerita pasal Maggi sangat malam ni.
Aku nak bercerita pasal situasi di mana ramai orang bila sampai pertengahan bulan, dah mula berkira-kira hari nak tunggu gaji seterusnya masuk sebab duit dah habis untuk belanja dan bayar hutang.
Korang yang pernah lalui, atau masih lalui situasi ni, mesti tahu macam mana perasaan dia kan?
Buka aplikasi bank, tengok baki makin menipis. Setiap perbelanjaan kena fikir dua tiga kali. Kalau ada kecemasan, terus rasa berdebar sebab tak pasti duit cukup atau tidak.
Sebab tu bila mengadu pasal kewangan, nasihat yang selalu keluar ialah:
“Carilah kerja lain yang gaji lebih tinggi.”
“Buat side hustle.”
“Tambah pendapatan.”
Nasihat tu tak salah.
Malah, dalam banyak keadaan, memang menambah pendapatan adalah sebahagian daripada penyelesaian.
Tapi realitinya, ramai orang dah pun buat semua benda tu.
Tukar kerja.
Naik gaji.
Buat bisnes kecil-kecilan.
Buat Grab hujung minggu.
Ambil freelance selepas waktu pejabat.
Tapi beberapa bulan atau beberapa tahun kemudian, mereka masih berada dalam situasi yang sama.
Masih tunggu gaji hujung bulan.
Masih stres bila ada perbelanjaan mengejut.
Masih rasa duit tak pernah cukup.
Kenapa?
Sebab masalah kewangan tidak semestinya berpunca daripada pendapatan semata-mata.
Kadang-kadang gaji naik, tapi gaya hidup naik lebih laju.
Dulu telefon RM800, sekarang RM4,000.
Dulu kereta yang ada masih elok, sekarang tambah komitmen baru.
Dulu kenaikan gaji RM500 sebulan boleh jadi simpanan, sekarang habis untuk komitmen tambahan yang baru diwujudkan.
Akhirnya setiap kali pendapatan meningkat, perbelanjaan ikut membesar sehingga tiada banyak perubahan pada kedudukan kewangan sebenar.
Sebab itu ada orang yang bergaji RM4,000 dan ada baki setiap bulan.
Ada juga yang bergaji RM15,000 tetapi masih menunggu gaji seterusnya untuk meneruskan hidup.
Bukan sebab mereka malas bekerja.
Tetapi kerana masalah sebenar bukan sekadar berapa banyak duit masuk.
Ia juga tentang berapa banyak duit yang keluar, dan sejauh mana kita mampu mengawal kehendak apabila pendapatan meningkat.
Hakikatnya, kebanyakan masalah kewangan bukan berlaku kerana satu keputusan besar yang salah.
Ia biasanya datang daripada ratusan keputusan kecil yang dibuat setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan.
Sama macam makan Maggi.
Sekali-sekala makan Maggi tak buat kita miskin.
Dan sekali-sekala naik gaji pun tak semestinya buat kita kaya.
Yang menentukan kedudukan kewangan kita dalam jangka panjang ialah apa yang kita buat dengan lebihan wang yang ada setiap kali pendapatan meningkat.
Kalau setiap kenaikan pendapatan habis digunakan untuk menaikkan gaya hidup, kita mungkin akan terus menunggu gaji seterusnya tidak kira berapa banyak pun yang kita peroleh.
Sebab kadang-kadang masalahnya bukan kurang pendapatan.
Masalahnya ialah setiap kali baldi diisi lebih banyak air, lubang di bawahnya juga semakin besar. ![]()
![]()
