Pagi tadi saya tengok video Dr Say.
Dia cakap — “Jadi lelaki ni susah sebenarnya.” (Video tu dah lama, tapi baru nampak hari ni sebab ada orang share)
Saya senyum bila dengar tu. Bukan sebab nak membantah, tapi sebab saya faham sangat maksudnya.
Mula-mula dulu, masa baru kahwin, saya dan isteri memang kongsi perbelanjaan. Sama-sama bina kehidupan. Tapi jauh dalam hati, saya dah tanam niat kalau Allah izinkan rezeki saya berkembang, saya nak jadi provider sepenuhnya untuk keluarga.
Dan alhamdulillah, Allah murahkan rezeki saya.
Hari ini saya boleh sediakan keselesaan untuk keluarga saya. Rumah, makanan, pendidikan anak-anak, percutian keluarga semuanya hasil usaha dan izin Allah. Tapi bila sampai tahap ni, saya makin sedar menjadi provider bukan sekadar tentang duit.
Sebagai perancang kewangan, saya tahu apa yang perlu dibuat untuk lindungi kesejahteraan keluarga walau apa pun jadi pada saya.
Saya dah ada pelan takaful yang cukup untuk ganti pendapatan. Saya dah susun perancangan harta pusaka, siap dengan hibah dan trust. Saya dah buat langkah-langkah supaya isteri dan anak-anak boleh teruskan hidup dengan baik kalau saya tiada.
Tapi dari segi psikologi, saya tahu walau semua tu dah lengkap, keadaan takkan pernah sama. Sebab bagi seorang lelaki, terutama yang terbiasa jadi provider, rasa tenang tu datang bila kita mampu hadir, bukan sekadar meninggalkan harta. Datang bila kita nampak keluarga tersenyum hasil titik peluh kita sendiri. Datang bila kita tahu, kita masih boleh melindungi dan menyokong mereka dengan tangan dan tenaga kita sendiri.
Dan bila fikir satu hari nanti kita tak lagi mampu buat semua tu walaupun semua pelan kewangan dah lengkap, akan ada satu ruang kosong yang tak boleh diisi dengan apa-apa angka pun.
Pada masa yang sama, satu perkara lain yang selalu menakutkan saya adalah kalau apa-apa jadi kepada syarikat saya.
Sebab bukan keluarga saya saja yang bergantung kepada pendapatan tu. Ramai lagi keluarga lain yang bergantung pada syarikat ni untuk kelangsungan hidup masing-masing.
Bila fikir tentang itu, saya sedar tanggungjawab sebagai provider bukan lagi terhad dalam rumah sendiri tapi juga meluas kepada mereka yang mencari rezeki bersama kita.
Saya faham kenapa ramai lelaki rasa jadi provider tu susah.
Sebab kita bukan cuma tanggung kewangan kita tanggung harapan, ketenangan, dan kebahagiaan keluarga dalam diam.
Kita mungkin tak selalu luah, tapi kita rasa setiap beban tu dalam hati.
Bagi saya, jadi provider bukan soal siapa bayar lebih atau siapa sediakan apa.
Ia tentang tanggungjawab, kasih, dan keinginan untuk tengok orang yang kita sayang hidup dengan cukup dan bukan sekadar dari segi material, tapi juga dari segi rasa selamat dan bahagia.
Dan mungkin inilah hakikatnya, semakin kita mampu menyediakan segalanya, semakin kita sedar bahawa duit boleh menggantikan keperluan, tapi tak pernah boleh menggantikan kehadiran.
