rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Loan 9 tahun? Tak mampu la tu beli kereta.

Baru-baru ni saya terbaca satu post yang menarik tentang pandangan orang terhadap loan kereta 9 tahun.

Ringkasnya, ada yang cepat menilai:
“Kalau ambil loan panjang, maknanya tak mampu.”

Tapi penulis post tu bawa sudut yang lebih berlapis:
✅ Ada orang beli sebab nafsu — memang ada.
✅ Tapi ramai beli sebab perlu — dan itu saja pilihan yang realistik.
✅ Dan beli kereta second hand tak semestinya jimat bila ambil kira kos baik pulih, ketahanan dan reliability.

Saya setuju — kita tak boleh pukul rata semua orang.

Dan sebagai perancang kewangan, saya sendiri pernah nasihatkan klien untuk beli kereta. Bukan sebab suka-suka, tapi sebab itu keputusan yang paling masuk akal ikut situasi mereka.

📌 Klien 1 – Pemilik bisnes
Dia memang dah plan nak beli kereta tahun depan.
Tapi bila kami semak unjuran untung bisnes untuk tahun kewangan ni, prestasi sangat baik.

Saya cadangkan beli tahun ni terus — untuk manfaat dari segi capital allowance dan pengurusan cukai.

Dia tak beli sebab nak reward diri. Dia beli sebab itu strategi kewangan yang berstruktur.

📌 Klien 2 – Kereta uzur, cashflow bocor
Dah sampai tahap keluar masuk bengkel sampai simpanan pun tak sempat nak kumpul.

Saya nasihatkan untuk jual kereta lama dan beli kereta baru yang lebih stabil.

Suami dia lega. Isteri dia risau.
Saya faham — sebab keputusan beli kereta memang besar.

Tapi saya tekankan: kita tak buat keputusan ikut rasa.
Kita guna data: aliran tunai, kos selenggara, objektif simpanan.

Dalam kes mereka, beli kereta baru bantu kukuhkan kewangan jangka panjang.

Beli kereta tak salah.
Yang salah — beli kereta yang kita tak mampu, tapi buat-buat mampu.

Contoh:
Kalau asalnya mampu bayar RM750 untuk Myvi,
tapi nak juga X50 — jadi kita tarik loan sampai 9 tahun supaya bayaran bulanan kekal “mampu”…

Itu bukan strategi.
Itu matematik cari pasal.

Tapi saya tahu juga ada yang hujah:

“Loan 9 tahun lagi ringan. Boleh guna lebihan cashflow untuk melabur.”

Betul. Dari segi cashflow bulanan, loan panjang memang lebih ringan.

Saya buat kiraan berdasarkan:

  • Harga kereta: RM50,000
  • Deposit: 10% → Loan: RM45,000
  • Kadar keuntungan tetap: 2.5% setahun (Rule of 78)

Loan 5 tahun → anggaran bayaran: RM843.75
Loan 9 tahun → anggaran bayaran: RM510.42
Beza: RM333 sebulan

Kalau kita konsisten laburkan lebihan RM333 tu setiap bulan dalam instrument yang bagi pulangan 4% setahun, dan duit baki tahun 6–9 (untuk loan 5 tahun) pun kita laburkan juga —
Loan 5 tahun akan menang sikit.

Tapi kalau pulangan naik ke 5% setahun,
Loan 9 tahun mula menang sikit.

Maknanya — dari sudut time value of money,
loan yang lebih panjang boleh masuk akal jika dan hanya jika lebihan tu benar-benar dilaburkan dengan konsisten dan bijak.

📌 Tapi cabarannya:
– Ramai tak konsisten simpan RM300+ tu.
– Ramai akan upgrade gaya hidup lepas beli kereta.
– Ramai “terbelanja” bukan “melabur”.

Jadi kalau nak guna hujah strategi ni — pastikan ada disiplin pelaburan yang sebenar, bukan sekadar “niat” je.

Kesimpulan:

👉 Loan pendek tak semestinya bagus.
👉 Loan panjang tak semestinya bodoh.
👉 Yang paling penting — keputusan kewangan kita kena selari dengan:

✔️ Matlamat hidup
✔️ Aliran tunai sebenar
✔️ Disiplin pelaburan
✔️ Risiko dan keperluan semasa

Bukan pasal berapa tahun loan, tapi berapa bijak kita buat keputusan.

Beli ikut logik, bukan ikut trend.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *