Ramai orang bila ditanya apa matlamat kewangan mereka, akan jawab: “Saya nak capai financial freedom.”
Tapi… berapa ramai yang betul-betul faham apa maksudnya?
Kalau ikut takrif asas, financial freedom bermaksud satu tahap di mana aset yang kita miliki—sama ada dalam bentuk pelaburan, hartanah, atau bisnes—boleh menjana pendapatan pasif yang cukup untuk menampung semua komitmen bulanan atau tahunan kita… sampai bila-bila.
Dalam perancangan kewangan, kita boleh kira jumlah yang diperlukan untuk capai tahap ni. Tapi untuk kira dengan tepat, kita perlukan beberapa input penting:
Berapa lama kita nak perlukan duit selepas capai financial freedom?
Berapa jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan ketika itu?
Berapa pulangan pelaburan dan kadar inflasi yang kita jangkakan?
Kalau kita ada ketiga-tiga input ni, kita boleh tahu berapa jumlah sebenar yang kita perlukan.
Tapi kenapa masih dikatakan sebagai “konsep yang abstrak”?
Sebab walaupun jumlah yang dikira tu konkrit—contohnya RM 4 juta—bagi kebanyakan orang, amaun tu terlalu besar untuk dibayangkan. Gaji sekarang mungkin baru RM 2,500. Jadi bila keluar angka jutaan ringgit, terus rasa mustahil.
Itu masalah utama: kita susah nak fokus pada matlamat yang kita sendiri tak dapat bayangkan.
Baru-baru ni saya ada sesi dengan seorang klien. Bila mula-mula kita set target untuk capai RM 500,000 dalam masa 5 tahun, dia sendiri tak nampak macam mana nak capai. Tapi akhirnya dia berjaya capai dalam 4.5 tahun.
Lepas tu saya cadangkan matlamat baru: RM 1 juta dalam 3 tahun dan pada masa yang sama, waktu dia mencapai umur 40 tahun, isteri boleh pilih untuk berhenti kerja kalau mahu.
Dia ajak jumpa untuk bincang sebab sama macam dulu—matlamat nampak kabur. Tapi bila saya breakdown macam mana dia boleh capai dua-dua matlamat jangka pendek ni, barulah dia nampak jalannya dan terus bersetuju untuk teruskan.
Konsep ni sama macam mendaki Gunung Kinabalu. Bila mula mendaki, kita tak nampak pun puncaknya. Tapi dalam otak saya masa tu: “Jalan 10 langkah dulu, lepas tu rehat. Ulang.”
Kalau fikir nak berjalan 6 jam memang rasa berat. Tapi fikir nak ambil 10 langkah—itu kita rasa mesti boleh buat.
Sama juga dalam kewangan. Nak capai RM 4 juta dalam 30 tahun nampak mustahil. Tapi kalau kita pecahkan matlamat tu kepada fasa-fasa kecil yang boleh dicapai, kita akan rasa lebih yakin dan lebih jelas dengan apa yang perlu dilakukan.
