Terbaca dalam surat khabar hari ini, keluar laporan bahawa kes kebankrapan peribadi di Malaysia meningkat 5.7% dalam tempoh 9 bulan pertama tahun 2025. Dan bila tengok angka-angkanya… sebenarnya agak membimbangkan.
4,875 rakyat Malaysia diisytihar bankrap tahun ini.
Di antaranya:
• 332 individu umur 30 tahun ke bawah (naik 60%)
• 423 warga emas (naik 43%)
• 45% berpunca daripada personal loan
• Majoriti hutang dalam lingkungan RM500,000 – RM999,999
Dan negeri paling tinggi: Selangor, KL dan Johor.
Ramai yang mungkin fikir isu ini hanya tentang “tak pandai urus duit”. Tapi bila kita jumpa orang setiap hari, duduk dalam dunia kewangan sebenar, kita tahu — ini bukan isu disiplin semata-mata. Ini simptom tekanan struktur.
1. Personal Loan Dah Jadi ‘Nyawa Sementara’ Ramai Orang
Personal loan kini penyumbang terbesar kepada kes bankrap. Kenapa?
Sebab ramai guna personal loan bukan untuk bina aset… tapi untuk survive:
• tampung cashflow
• bayar bil tertunggak
• tutup hutang lain
• tampung kos hidup yang makin menekan
Bila kos hidup naik tapi gaji tak naik sama laju, jurang tu mesti ditampung oleh sesuatu… dan selalunya personal loan / pembiayaan atau kad kredit lah yang orang cari.
2. Golongan B40 & M40 Rendah Paling Terjejas
Bank Negara sendiri sebut:
Majoriti personal financing diambil oleh mereka yang bergaji bawah RM5,000 sebulan.
Ini bermaksud:
• mereka tak ada buffer
• tak ada dana kecemasan
• tak ada ruang untuk salah langkah
Bila satu krisis kecil berlaku, contohnya kereta rosak, anak masuk hospital, gaji lambat, mereka terus goyah.
3. Langkah Baharu BNM Bermula 2027
Mulai 1 Januari 2027, sesiapa nak ambil loan > RM100,000 perlu lengkapkan modul pendidikan kewangan.
BNM juga ketatkan: • tempoh personal financing maksimum 10 tahun
• haramkan Rule of 78
• ketatkan BNPL > RM1,500
• bankrupt tak boleh akses pembiayaan tertentu
Ini langkah baik. Tapi… ia bukan penyelesaian menyeluruh.
Sebab kalau seseorang tu memang terdesak, modul 1 jam pun belum tentu mengubah keputusan kewangan dia.
4. Masalah Sebenar Bukan Pada Hutang, Tapi Cashflow
Berdasarkan pengalaman saya sebagai perancang kewangan, punca terbesar bukanlah sikap.
Masalah paling kritikal adalah: pendapatan tak selari dengan kos hidup. Terutamanya di negeri2 yang kos sara hidup dia lebih tinggi macam Selangor, KL dan Johor.
Dan bila pendapatan tak cukup, semua orang akan buat apa saja untuk “survive”:
• ambil loan / pembiayaan
• tunda simpanan
• bayar minimum saja
• guna BNPL untuk belanja asas
Benda-benda kecil ni lama-lama jadi rantai yang menjerut.
5. Apa Langkah Praktikal Untuk Elakkan Situasi Ini?
(1) Kenal pasti kebocoran cashflow bulanan
Ramai sebenarnya “hilang” RM500 – RM2,000 tanpa sedar.
(2) Jangan guna personal loan / pembiayaan untuk tampung gaya hidup
Ia hanya menunda masalah — tetapi kosnya berlipat kali ganda. Kalau dah nampak ada kebocoran dan tak dapat nak kurangkan perbelanjaan, fokus kepada menambahkan pendapatan dan bukan menambahkan hutang.
(3) Simpan buffer RM1,000 – RM5,000 walaupun perlahan
Dana kecil pun boleh mengelakkan keputusan hutang terdesak. Duit dari bonus adalah salah satu cara yang boleh bantu kita simpan.
(4) Audit semua komitmen setiap 6 – 12 bulan
Ramai tak sedar mereka bayar untuk benda yang mereka dah tak guna atau benda yang tak perlu. Kenalpasti apa keperluan dan apa kemahuan. Bila aliran tunai defisit, fokus hanya kepada apa yang perlu sahaja
(5) Seek early help
Lebih awal jumpa perancang kewangan, lebih banyak pilihan penyelesaian. Kalau nak bantuan menguruskan hutang secara percuma, pergi jumpa AKPK.
Kesimpulan
Kenaikan kebankrapan bukan berita buruk semata-mata. Ia sebenarnya wake up call kepada kita tentang realiti kewangan rakyat.
Sebab bila semakin ramai:
• belia bankrap
• warga emas bankrap
• personal loan jadi punca utama
• dan majoriti pendapatan bawah RM5,000 yang paling tertekan
Ini bukan isu individu. Ini tanda bahawa tekanan kewangan kepada keluarga makin melarat. Dan kita perlu bercakap tentangnya secara jujur tanpa menyalahkan, tanpa stigma.
