rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Kenapa Ramai Financial Planner yang Baru Tak Bertahan Lama Dalam Industri Kewangan — dan Apa yang Kita Boleh Ubah

Baru-baru ini, saya terbaca satu artikel di Channel NewsAsia yang menceritakan kisah sebenar di sebalik kerjaya sebagai penasihat kewangan — terutamanya bagi golongan muda yang baru mula menceburi bidang ini.

Ramai masuk dengan semangat tinggi. Ada yang tertarik dengan potensi pendapatan tanpa had.

Ada yang suka fleksibiliti masa, boleh urus jadual sendiri, tak perlu “punch card”. Dan ada juga yang melihatnya sebagai peluang untuk bina perniagaan sendiri dan bantu orang lain pada masa yang sama.

Tapi di sebalik semua itu, realitinya jauh lebih mencabar daripada apa yang kelihatan di media sosial.

Dalam artikel itu, beberapa Penasihat Kewangan yang ditemuduga berkongsi pengalaman sebenar mereka:

❌ Rasa kecewa bila ditolak berkali-kali,

💔 Hubungan dengan kawan dan keluarga jadi renggang sebab pendekatan jualan terlalu agresif,

😔 Ada yang hilang keyakinan diri bila prospek memandang rendah atau menolak mereka mentah-mentah,

🚫 Malah ada juga ejen wanita yang menerima gangguan daripada prospek yang tak profesional.

Ramai akhirnya berhenti selepas setahun atau dua tahun pertama, bukan sebab mereka tak rajin, tapi kerana tekanan emosi dan stigma masyarakat terhadap industri ini terlalu kuat.

Saya baca semua itu dengan rasa empati yang mendalam. Sebab saya pernah lalui fasa yang sama.

Lebih sepuluh tahun lepas, masa saya mula dalam bidang ini, saya juga dapat rejection, dapat bluetick, kena sidai dan macam2 lagi.

Saya fikir kalau saya kerja keras, buat banyak appointment, mesti boleh berjaya cepat. Tapi lama-kelamaan saya sedar, bila kita terlalu fokus pada jualan, kita lupa sesuatu yang lebih penting: kepercayaan.

Bila orang rasa kita datang semata-mata untuk jual sesuatu, mereka akan jauhkan diri. Bila orang rasa kita tak dengar apa yang mereka perlukan, mereka takkan terbuka untuk berkongsi hal kewangan peribadi.

Dan bila kita sendiri rasa macam semua hubungan hanyalah peluang jualan, kerja ini akan mula terasa kosong.

Perubahan besar berlaku bila saya mula belajar dan faham konsep sebenar perancangan kewangan berlesen. Daripada jual produk, saya beralih kepada memberi nasihat secara menyeluruh untuk bantu klien faham kedudukan kewangan mereka, tentukan matlamat, dan bina pelan yang realistik.

Saya mula nampak beza antara “buat jualan” dan “beri nilai”. Hubungan dengan klien jadi lebih jujur. Dan yang paling penting, kerja ini jadi lebih bermakna.

Industri kewangan hari ini masih perlukan ramai intermediari yang beretika, sabar dan ikhlas mahu membantu orang lain. Tapi untuk mereka bertahan, kita yang lebih lama dalam bidang ini perlu ubah cara kita membimbing.

Kita kena bantu mereka faham bahawa:

🌿 Kejayaan sebenar tak datang daripada komisen semata-mata,

🌿 Menolak prospek bukan kegagalan — tapi sebahagian daripada proses,

🌿 Dan hubungan manusia lebih penting daripada transaksi jangka pendek.

Kalau kita sendiri tak bantu membina budaya profesional yang lebih sihat, stigma terhadap industri ini akan kekal — dan setiap tahun kita akan terus kehilangan bakat muda yang sebenarnya berpotensi besar.

Kepada mereka yang baru nak bermula, jangan takut dengan cabaran industri ini. Tapi pastikan anda masuk dengan niat yang betul:

Untuk membantu, bukan menjual.

Kerana apabila niat kita betul, masa, rezeki dan kepercayaan — semuanya akan datang dalam masa yang sepatutnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *