rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Perancangan Kewangan Bukan Tentang Kesempurnaan.

Bila saya kata begitu, maksudnya dalam pengurusan kewangan peribadi, banyak perkara yang kita rancang sebenarnya berasaskan anggaran, bukan kepastian.

Kita ambil data dan fakta semasa klien kita contohnya aset, hutang, pendapatan, perbelanjaan — sebagai titik permulaan. Tapi bila kita nak tahu ke mana arah kita pergi, kita mesti guna anggaran dan projection: kadar inflasi, kadar pulangan pelaburan, kenaikan gaji, umur jangka hayat, dan sebagainya.

Masalahnya, anggaran ini tidak sempurna.

Dan ia memang tidak akan sempurna.

Tapi itu tidak mengapa.

Kerana bila kita bercakap tentang masa depan, kita tak perlukan ketepatan mutlak. Apa yang kita perlukan adalah halatuju yang betul.

Walaupun pelan kita hanya 80% atau 85% tepat, ia tetap membawa kita ke arah yang sama ke arah kebebasan kewangan.

Contohnya, bila kita gunakan kadar inflasi 4 ke 4.05% dalam projection, angka akhirnya memang akan berbeza. Tapi mesejnya tetap sama:

Kita perlu menyimpan, kita perlu melabur, kita perlu melindungi diri dan keluarga kita.

Akhirnya, tindakan yang perlu diambil tetap sama.

Namun, ada satu hal yang saya perhatikan dalam pengalaman saya bersama klien. Ada di antara mereka yang terlalu mengejar kesempurnaan sering kali lambat bergerak.

Mereka mahu tahu setiap angka, setiap risiko, setiap kemungkinan sebelum buat keputusan. Mereka nak “perfect information”, padahal dalam dunia sebenar, itu tak akan berlaku.

Akibatnya, mereka kehilangan masa. Dan dalam kewangan, kehilangan masa selalunya lebih mahal daripada kehilangan wang.

Saya pernah lihat perkara ini berlaku bukan sekali dua terutamanya di kalangan klien yang datang daripada latar belakang aktuari atau kewangan teknikal.

Mereka sangat mahir dengan angka, mereka boleh buat kiraan, projection, dan analisis risiko dengan tepat.

Tapi disebabkan dilatih untuk mencari ketepatan mutlak, mereka sering terperangkap dalam analisis tanpa tindakan.

Dan yang lebih menarik, mereka tahu apa yang perlu dilakukan, tapi tetap tidak melakukannya.

Kerana dalam diri mereka, masih ada suara yang berkata:

“Belum cukup data lagi.”

“Atau mungkin ada cara yang lebih baik.”

Tapi masa tetap berjalan.

Dan dalam kewangan, masa yang berlalu tanpa tindakan adalah kos yang tidak boleh ditebus kembali.

Saya tidak kata mereka ini salah.

Mereka hanya terperangkap dalam cara berfikir yang sama mereka gunakan di tempat kerja iaitu mencari ketepatan.

Tapi dalam dunia sebenar kewangan peribadi, ketepatan bukan keutamaan, halatuju dan tindakan itulah yang penting.

Jadi, bila saya kata penjagaan kewangan bukan tentang kesempurnaan, ia tentang kita sedar bahawa pelan kewangan adalah satu alat panduan, bukan ramalan sempurna.

Ia membantu kita buat keputusan hari ini supaya masa depan kita tidak bergantung kepada nasib semata-mata.

Dan bila kita berani membuat keputusan dengan maklumat yang mencukupi (bukan sempurna),

itulah permulaan sebenar kepada keselamatan kewangan.

Perancangan kewangan bukan tentang betul setiap kali. Ia tentang berani mula, dan terus perbaiki sepanjang perjalanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *