Semalam saya jumpa seorang klien. Tahun pertama dia dengan saya.
Topik asalnya nak sembang pasal pelaburan — tapi macam biasa, perbualan kami lari sikit topik bila dia mula cerita pasal kerja dalam bidang yang dia suka.
Katanya, dia memang minat kerja dalam dunia akademik. Lepas grad dulu, terus kerja di universiti. Tapi bila masuk umur 40, dia mula sedar simpanan tak banyak… sebab pendapatan dalam bidang tu agak rendah.
Tambah pula, dia ambil masa sambung master dan PhD, jadi tempoh dia tak bekerja pun panjang.
Akhirnya dia terpaksa buat keputusan yang berat — tinggalkan bidang yang dia sayang, dan masuk ke dunia consulting.
Pendapatan naik, tapi jiwa dia meronta.
Cuma dia tahu, kalau dia tak “suffer” sekarang, nanti bila dah tak boleh kerja, dia mungkin akan “suffer” dengan cara lain.
Dia cakap, memang seronok kalau dapat kerja dalam bidang yang kita minat dan dalam masa yang sama boleh hidup selesa. Tapi realitinya, tak semua orang ada peluang tu — sebab hidup ni ada macam-macam cabaran.
Masa dengar cerita dia, saya rasa sangat bersyukur.
Sebab saya jumpa apa yang saya nak buat, dan alhamdulillah, dapat hidup dengan selesa hasil dari kerja yang saya sayang.
Itu satu lagi sebab untuk saya rasa syukur dengan rezeki yang Allah bagi.
Sekarang dia masih dalam bidang consulting (dah 10 tahun dah), tapi baru tukar tempat kerja — gaji sedikit rendah daripada sebelum ni, tapi persekitaran jauh lebih tenang.
Saya cakap padanya,
“Peranan saya sebagai perancang kewangan ialah untuk bantu klien capai impian mereka. Jadi bila awak buat keputusan nak pindah kerja dengan gaji yang lebih rendah, tugas saya ialah pastikan keadaan kewangan awak masih kukuh.”
Dia senyum, ucap terima kasih, dan kata —
“Salah satu sebab saya berani buat keputusan ni ialah sebab rasa tenang lepas berbincang dengan awak.”
Masa tu, saya rasa betul-betul gembira.
Sebab saya tahu, saya dah bantu seseorang buat keputusan besar dalam hidupnya dengan lebih yakin.
Dan itu, bagi saya — satu bentuk rezeki juga. 🌿
