rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Bila tak berkat, duit tak lekat…

Baru-baru ni, ada seorang follower tinggalkan komen yang buat saya terus termenung.

Dia cerita dulu kerja makan gaji. Lepas tu buat side hustle.
Income dua-dua jalan — gaji tinggi, side hustle pun masyuk.

Tapi duit tetap tak cukup. Hati pun tak tenang.
Rupanya, dalam diam, dia “terguna” masa kerja hakiki untuk buat side hustle.

Bos tak marah. Kerja siap. Tapi dia sendiri rasa tak sedap hati.
Lama-lama dia buat keputusan besar — berhenti kerja makan gaji, dan fokus 100% pada bisnes sendiri.

Income lepas tu tak setinggi dulu. Tapi dia rasa lebih tenang.
Hidup lebih lega. Duit walaupun tak banyak macam dulu, rasa lebih cukup.

Saya baca kisah tu… dan saya faham sangat.
Sebab saya pernah lalu benda yang hampir sama.

Dulu, masa saya kerja makan gaji — saya pun ada “terguna” masa kerja.
Balas sms personal. Check email sendiri. Kadang-kadang baca facebook waktu kerja. Benda-benda kecil… tapi saya tak pernah ganti balik masa tu.

Kerja tetap siap. Tak ada masalah dengan bos.
Tapi entah kenapa… duit rasa sentiasa bocor.

Walaupun simpan duit, walaupun ada bajet — tetap ada je benda luar jangka:
Kereta rosak. Eksiden. Emergency. Simpanan ada… tapi cepat je lesap.

Dan masa tu saya mula sedar…
Mungkin ni bukan soal teknik pengurusan kewangan semata-mata.
Mungkin ini soal keberkatan rezeki.

Itu antara sebab besar kenapa saya ambil keputusan berhenti kerja makan gaji dan mulakan perjalanan sendiri — untuk bantu lebih ramai orang urus kewangan, dan pada masa sama, nak jaga cara saya mencari rezeki.

Bila kerja sendiri ni, ada kelebihan dia.
Kita dapat income bila kita buat kerja. Tak buat kerja, tak dapat income (sepatutnya lah).

Dan kalau kita jujur dalam berniaga, tak sorok maklumat, tak tipu pelanggan — insyaAllah keberkatan tu ada.

Tapi saya kena tegaskan —
Ini bukan bermaksud kerja makan gaji tak berkat. Jangan salah faham.

Saya tak nak pula nanti ada yang berhenti kerja sebab ingat kerja makan gaji tu tak berkat.

Kerja makan gaji boleh jadi sangat berkat — kalau kita jaga amanah.
Dan dalam dunia kerja hari ini, ramai yang memang jaga amanah tu dengan baik.

Cuma kita semua — tak kira kerja sendiri atau makan gaji — kena lebih cakna tentang masa yang digunakan.
Termasuklah:

  • Keluar makan lama sangat
  • Bersembang kosong waktu kerja
  • Solat sunat atau fardhu ambil masa terlalu panjang dalam waktu kerja
  • dan macam-macam lagi

Kalau kita “terguna” masa kerja untuk urusan peribadi — sebaiknya ganti balik masa tu.

Sekarang ni pun, duit tetap keluar juga kadang-kadang untuk benda tak dirancang. Tapi amaunnya kecil.
Dan setiap kali jadi, saya terus tanya diri:

“Ada silap tak dalam usaha cari rezeki kali ni?”

Alhamdulillah… sejak tu, hidup rasa jauh lebih cukup.
Dan yang paling saya syukuri —
Rezeki bukan datang dalam bentuk duit je.

Kadang datang dalam bentuk klien yang baik, yang ikhlas, yang berebut nak belanja makan.
Bukan setakat mamak… kadang wagyu pun dia orang tak bagi saya bayar 😅

💡 Kadang kita terlalu kejar banyaknya rezeki, sampai lupa nak jaga berkatnya rezeki.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *