rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Nampak orang hidup mewah, pernah tak korang tertanya-tanya… duit diaorang datang dari mana?

Aku rasa ada beberapa kemungkinan.

1. Memang dia berpendapatan tinggi.

Tak kisahlah dia bekerja makan gaji atau berniaga. Bila income besar, memang dia ada kemampuan untuk berbelanja lebih dan menikmati lifestyle yang lebih mewah berbanding orang yang berpendapatan rendah.

Cuma, sumber pendapatan pun penting. Ada yang mencari rezeki dengan cara yang halal dan berkat. Ada juga yang menggunakan jalan yang haram, seperti rasuah, menipu, scam orang atau mencuri.

Kita nampak kemewahan dia, tapi tak semestinya kita tahu macam mana duit tu diperoleh.

2. Dia memilih kemewahan yang dia nak.

Mungkin dia pakai kereta mahal, tapi dia tak kisah duduk di rumah biasa. Mungkin dia suka travel ke luar negara, tapi dia tak berbelanja besar untuk pakaian atau barang berjenama.

Sebab dia faham, kalau nak semua benda mewah, belum tentu dia mampu.

Aku sendiri lebih fokus pada makan dan jalan-jalan. Benda lain aku hold.

Bukan sebab tak mampu, tapi sebab aku kena fikirkan masa depan juga.

3. Dia menggunakan hutang untuk membiayai lifestyle.

Kad kredit, BNPL, personal loan, salary advance, pinjam duit orang dan macam-macam lagi.

Ada orang sanggup berhutang sebab nak menikmati kehidupan sekarang. Prinsipnya, YOLO — You Only Live Once.

Tak kisahlah apa yang akan jadi pada masa depan. Yang penting, sekarang nampak gah. Post dekat media sosial, dapat perhatian, followers teruja tengok lifestyle dia dan ada pula yang nak ikut cara hidup yang sama.

Masalahnya, kita nampak apa yang dia belanja, tapi kita tak nampak berapa banyak hutang yang dia tanggung.

4. Dia memang datang daripada keluarga berada.

Mungkin mak ayah atau datuk nenek dia dah bina kekayaan sejak beberapa generasi lalu.

Dia tak perlu bermula dari kosong. Mungkin dia dah ada aset yang menjana pendapatan, trust fund yang disediakan keluarga atau perniagaan yang diwarisi.

Ada juga yang tiba-tiba mendapat durian runtuh, contohnya pusaka atau kemenangan loteri.

Jadi, kemampuan dia berbelanja mungkin datang daripada sumber yang kita sendiri tak ada.

—

Jadi, apa yang kita boleh belajar daripada semua ni?

Setiap orang ada jalan hidup, latar belakang dan kemampuan kewangan yang berbeza.

Tak salah kalau kita nak tahu macam mana orang lain mampu memiliki kehidupan yang kita impikan.

Kalau dia berjaya bina kekayaan melalui perniagaan, kita boleh belajar tentang perniagaan.

Kalau dia berjaya mengembangkan aset melalui pelaburan, kita boleh belajar tentang pelaburan.

Kalau dia pandai menguruskan kewangan sehingga mampu menikmati kehidupan yang selesa, kita boleh belajar daripada cara dia menguruskan duit.

Tapi jangan sampai kita sibuk membandingkan kehidupan kita dengan kehidupan orang lain.

Kita tak tahu berapa banyak yang dia ada, berapa banyak yang dia berhutang, apa yang dia korbankan dan apa yang dia terpaksa tanggung untuk menikmati kehidupan tersebut.

Paling penting, jangan jadikan gaya hidup orang lain sebagai kayu ukur kejayaan kita sendiri.

Ada orang nampak kaya, tapi sebenarnya hidup tertekan sebab nak mempertahankan lifestyle.

Ada orang nampak biasa-biasa saja, tapi kewangan dia kukuh, simpanan cukup dan tidur malam pun lena.

Ada orang boleh beli kereta mewah secara tunai tanpa menjejaskan kewangan. Ada orang beli kereta yang sama, tapi setiap bulan terpaksa mengikat perut untuk membayar ansuran.

Kereta sama. Kehidupan kewangan berbeza.

Jangan sampai kita sibuk nak nampak kaya di mata orang lain, sampai terlupa nak betul-betul membina kekayaan untuk diri sendiri.

Sebab akhirnya, kita yang akan menanggung akibat daripada keputusan kewangan kita sendiri, bukannya followers yang tekan butang like tu.

Korang rasa, ada lagi tak sebab lain kenapa sesetengah orang nampak macam mampu hidup mewah?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *