rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Nanti simpanan SSPN akan ada hibah?

Ramai ibu bapa sebenarnya tak tahu bahawa buat masa ini, jika pencarum meninggal dunia, simpanan dalam akaun SSPN boleh menjadi sebahagian daripada harta pusaka dan tertakluk kepada proses pembahagian mengikut faraid.

Sebab itu isu ini pernah menjadi perbincangan hangat sebelum ini.

Ramai ibu bapa membuka akaun SSPN menggunakan duit anak sendiri, contohnya duit raya atau hadiah daripada ahli keluarga. Dalam masa yang sama, mereka juga menikmati pelepasan cukai.

Sedikit penjelasan kerana masih ramai yang keliru:

– Pelepasan cukai SSPN ialah sehingga RM8,000 setahun bagi satu keluarga, bukannya RM8,000 untuk setiap ibu bapa atau RM8,000 bagi setiap anak.

Bila isu ini timbul dahulu, ramai juga klien yang bertanya kepada saya apa yang boleh dibuat.

Memang ada beberapa langkah yang boleh membantu, tetapi ia bukan penyelesaian yang sempurna.

Contohnya, meletakkan penama bagi memudahkan urusan tuntutan supaya wang dapat dikeluarkan dengan lebih cepat. Namun, ia masih tertakluk kepada faraid.

Ada juga yang menyatakan dalam wasiat bahawa wang dalam akaun SSPN itu sebenarnya milik anak kerana ibu bapa hanya memegangnya sebagai amanah. Tetapi jika timbul pertikaian, ia tetap bergantung kepada bukti yang ada dan sama ada waris lain bersetuju atau tidak.

Berita baiknya, pihak SSPN sedang dalam proses memperkenalkan konsep hibah amanah untuk akaun SSPN.

Sebagai seorang perancang kewangan, seorang bapa, dan juga pencarum SSPN, saya melihat usaha ini sebagai satu perkembangan yang sangat positif.

Mudah-mudahan apabila ia dilaksanakan nanti, ia dapat memberi lebih banyak kepastian kepada ibu bapa serta memastikan simpanan yang benar-benar diniatkan untuk pendidikan anak dapat disalurkan kepada mereka dengan lebih lancar.

Perancangan kewangan bukan sekadar mengumpul duit, tetapi juga memastikan duit itu sampai kepada orang yang kita niatkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *