rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Ada cash RM200,000 sebagai reserve untuk migrate ke luar negara satu keluarga. Target pula Australia. Tapi ada yang cakap, “Tak berbaloi.”

Ramai orang memang ada impian nak berhijrah. Nak kehidupan yang lebih selesa untuk diri dan keluarga. Dan itu bukanlah sesuatu yang salah.

Aku sendiri pernah bekerja di Oman selama setahun.

Memang tak dapat dinafikan, pendapatan lebih tinggi dan masa tu tiada cukai pendapatan. Walaupun kos sara hidup lebih tinggi daripada Malaysia, aku masih dapat menyimpan duit. Duit itulah yang banyak membantu aku menyelesaikan hutang, termasuk bayaran pecah kontrak biasiswa TNB.

Tapi selepas setahun, aku buat keputusan untuk balik Malaysia.

Walaupun pendapatan aku turun hampir 45% berbanding ketika bekerja di Oman.

Sebabnya mudah.

Isteri dan anak tinggal di Malaysia. Masa aku di Oman, aku cuma dapat jumpa mereka sebulan sekali. Pada satu ketika, aku sedar duit bukan satu-satunya perkara yang aku kejar.

Semalam pula masa sesi annual review dengan seorang klien, dia berkongsi perkara yang hampir sama.

Dia sebenarnya boleh terus bekerja di luar negara dengan gaji yang lebih tinggi. Tapi akhirnya dia memilih untuk balik Malaysia dan menerima tawaran kerja dengan gaji yang lebih rendah, semata-mata kerana mahu tinggal dekat dengan keluarga.

Dulu masa aku bekerja di TalentCorp selama empat tahun, aku berpeluang ke UK dan Amerika Syarikat untuk bertemu rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di sana.

Aku dengar sendiri sebab mereka memilih untuk berhijrah.

Dalam masa yang sama, ramai juga yang bertanya tentang peluang kerjaya di Malaysia, sebab dalam hati mereka tetap ada keinginan untuk pulang.

Sebab itu aku percaya, tiada jawapan yang sesuai untuk semua orang.

Ada orang lebih menghargai peluang kerjaya dan pendapatan yang lebih tinggi.

Ada orang lebih menghargai masa bersama ibu bapa, adik-beradik dan keluarga.

Ada orang sanggup berjauhan demi masa depan anak-anak.

Ada juga yang sanggup menerima pendapatan lebih rendah asalkan dapat makan malam bersama keluarga setiap hari.

Aku sendiri memang suka melancong.

Seronok pergi melihat negara orang, belajar budaya baru dan menikmati pengalaman yang berbeza.

Tapi setiap kali nak balik, bila naik Malaysia Airlines dan dapat pilih nasi lemak atau makanan Malaysia dalam penerbangan, memang ada rasa “nak balik rumah” yang sukar dijelaskan.

Kalau ditanya sama ada berhijrah itu berbaloi atau tidak, jawapan aku ialah…

Ia bergantung kepada objektif hidup kita.

Pendapatan hanyalah satu faktor.

Keluarga, sokongan sosial, peluang kerjaya, pendidikan anak-anak, budaya, keselamatan, kesihatan mental dan kualiti hidup juga ada nilainya yang tersendiri.

Jadi kalau sedang mempertimbangkan untuk migrate, jangan buat keputusan hanya kerana nampak gaji lebih besar atau kerana orang lain kata hidup di sana lebih baik.

Fikirkan keseluruhan kehidupan yang kita mahu bina.

Sebab keputusan yang baik bukan semestinya yang memberi pendapatan paling tinggi.

Tetapi keputusan yang paling selari dengan nilai dan matlamat hidup kita sekeluarga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *