Jangan terlalu fokus pada masa sekarang sahaja…
Masa memang bergerak secara linear. Kita kena lalui hari ini sebelum sampai ke hari esok.
Baru-baru ini ada satu kisah yang tular. Seorang individu hidup berjimat-cermat, pakai motor, simpan duit sampai ada sekitar RM600,000 dalam KWSP dan RM250,000 dalam simpanan. Tetapi apabila hampir bersara, dia jatuh sakit. Dalam masa beberapa tahun sahaja, sebahagian besar simpanannya habis digunakan untuk kos rawatan.
Bila nampak kisah macam ni, ada yang terus buat kesimpulan:
“Kalau macam tu, buat apa susah-susah simpan duit? Baik enjoy je hidup. Mana tahu tua nanti tak sempat.”
Saya rasa kesimpulan itu terlalu cepat.
Ada beberapa perkara yang saya fikir kita kena lihat.
1. Pakai motor tak bermaksud dia tak menikmati hidup.
Kenapa bila kita nampak seseorang pakai motor, kita terus anggap dia hidup susah dan tak pernah menikmati kehidupan?
Mungkin dia memang memilih untuk berjimat pada kenderaan, tetapi dia berbelanja untuk perkara lain yang memberi makna kepada hidupnya.
Selalunya kita sedang memproyeksikan nilai kita kepada orang lain.
Bagi sesetengah orang, “enjoy” ialah memandu kereta mewah.
Bagi orang lain, “enjoy” ialah melancong, makan sedap bersama keluarga, atau mempunyai masa bersama orang tersayang.
Macam saya sendiri, saya pakai Aruz.
Kalau orang tak kenal saya dan tak tengok media sosial saya, mungkin mereka fikir saya jenis yang terlalu berjimat dan tak menikmati hidup.
Hakikatnya, selain menyimpan dan melabur, saya memang belanjakan duit untuk makan apa yang saya suka (asalkan halal) dan melancong dengan keluarga beberapa kali setahun.
Jadi ukuran “enjoy” itu berbeza bagi setiap orang.
Malah kalau ikut kisah yang dikongsikan, beliau menghidap diabetes sehingga terpaksa dipotong kaki. Maknanya semasa muda pun bukanlah hidup terlalu “strict”. Mungkin ada juga menikmati makanan dan minuman manis seperti kebanyakan orang.
Jadi persoalannya, apa sebenarnya definisi “enjoy” yang kita gunakan?
2. Saya lebih rela sakit ketika masih ada simpanan daripada sakit ketika langsung tiada duit.
Tanpa mengetahui pendapatan beliau, tetapi melihat baki KWSP sekitar RM600,000 dan simpanan RM250,000, saya agak beliau mungkin bukan daripada golongan berpendapatan yang terlalu tinggi.
Kalau betul begitu, saya tabik dengan disiplin beliau.
Ya, akhirnya beliau jatuh sakit dan duit itu digunakan.
Tetapi cuba bayangkan satu lagi situasi.
Kalau semasa muda beliau memilih untuk menghabiskan semuanya kerana mahu “enjoy”, kemudian apabila sakit, KWSP kosong dan simpanan pun tiada.
Senario mana yang kita lebih sanggup hadapi?
Sakit ketika masih mempunyai simpanan?
Atau sakit ketika langsung tiada duit?
Bagi saya, jawapannya agak jelas.
3. Kenapa simpanan boleh habis? Di sinilah pentingnya perlindungan.
Kalau beliau mempunyai pelan perubatan atau takaful yang sesuai, sebahagian besar kos rawatan mungkin boleh dikurangkan.
Kalau penyakit itu berlaku semasa masih bekerja, mungkin juga boleh mendapat manfaat melalui PERKESO seperti pencen ilat, tertakluk kepada kelayakan.
Kalau majikan menyediakan perlindungan perubatan, itu juga sedikit sebanyak membantu.
Sebab itu saya selalu cakap, kalau mampu, usahakan untuk ada perlindungan hospital.
Saya faham ramai yang mengeluh tentang kos sara hidup.
Tetapi lihat sahaja apa yang berlaku di Amerika Syarikat. Antara punca utama ramai orang jatuh bankrap ialah kos rawatan perubatan yang sangat tinggi.
Bila tiada perlindungan, simpanan yang dikumpul bertahun-tahun boleh habis dalam masa yang singkat.
4. Risiko tetap wujud, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti merancang.
Betul.
Makan sihat pun masih boleh jatuh sakit.
Saya sendiri ada klien yang mengamalkan pemakanan vegetarian. Tahun lepas buat pemeriksaan kesihatan, rupa-rupanya kolesterol tinggi dan akhirnya perlu menjalani prosedur stent.
Dia sendiri terkejut.
Ada orang menyimpan duit, akhirnya duit itu digunakan ketika ditimpa musibah.
Tetapi itu tidak bermaksud usaha menyimpan dan merancang itu sia-sia.
Sebenarnya, itulah tujuan simpanan diwujudkan.
Bukan semata-mata untuk diwariskan, tetapi supaya kita ada pilihan apabila kehidupan tidak berjalan seperti yang dirancang.
Dalam Islam juga kita diajar konsep wasatiyyah — bersederhana.
Jangan terlalu mengejar masa depan sehingga langsung tidak menikmati kehidupan hari ini.
Dan jangan pula terlalu mengejar keseronokan hari ini sehingga mengorbankan masa depan.
Nikmatilah kehidupan, tetapi dalam kemampuan.
Merancanglah untuk masa depan, tetapi jangan sampai lupa untuk hidup pada hari ini.
Keseimbangan itulah yang selalunya membawa ketenangan.
