Hari ini kita berada di pertengahan tahun 2026.
Awal Muharram pun baru jer lepas.
Ramai yang mengambil peluang untuk bermuhasabah dan menetapkan azam baharu.
Sekarang, saya nak tanya satu soalan.
Macam mana dengan azam dan matlamat yang anda tetapkan pada awal tahun?
Masih on track?
Atau dah mula tersasar?
Atau sebenarnya dah terlupa pun apa yang kita sasarkan enam bulan lepas?
Sebenarnya, pertengahan tahun adalah masa yang sesuai untuk kita berhenti seketika dan membuat semakan.
Bukan semata-mata untuk melihat sejauh mana kita dah capai sasaran, tetapi juga untuk bertanya satu soalan yang lebih penting.
Adakah matlamat itu masih relevan?
Kehidupan berubah.
Pendapatan berubah.
Komitmen keluarga berubah.
Keutamaan hidup juga boleh berubah.
Tidak salah untuk mengubah strategi, malah kadang-kadang tidak salah juga untuk mengubah matlamat. Yang penting, perubahan itu dibuat secara sedar, bukan kerana kita sekadar mengalah atau menangguhkan tindakan.
Ramai orang gagal bukan sebab mereka menetapkan matlamat yang terlalu tinggi.
Tetapi kerana mereka berhenti selepas beberapa minggu, atau menunggu “masa yang sesuai” untuk bermula semula.
Hakikatnya, langkah yang kecil tetapi konsisten selalunya lebih berkesan daripada rancangan yang sempurna tetapi tidak pernah dilaksanakan.
Kalau matlamat anda adalah untuk menjadi lebih sihat, mungkin tak perlu terus daftar marathon.
Boleh mulakan dengan berjalan 15 minit sehari. Atau pun kurangkan minuman manis.
Tak perlu nak terus mula dengan intensif pergi gym atau ambil personal trainer. Janji kita mula.
Perubahan kecil yang dibuat secara konsisten akan memberi kesan dalam jangka panjang.
Kalau matlamat anda adalah untuk memperbaiki kewangan, tak semestinya terus kena buat bajet yang kompleks.
Mulakan dengan satu perkara.
Jejak ke mana duit anda dibelanjakan setiap bulan.
Tak kisah guna buku, Excel atau aplikasi.
Bila kita tahu ke mana duit kita pergi, barulah lebih mudah untuk membuat keputusan yang lebih baik.
Selepas itu barulah fikir tentang bajet, simpanan, pelaburan atau sasaran kewangan yang lain.
Ingat, kita tak perlu menjadi sempurna.
Kita cuma perlu terus bergerak ke arah yang betul.
Kalau enam bulan pertama tahun ini tidak berjalan seperti yang dirancang, jangan tunggu Januari tahun depan untuk bermula semula.
Hari ini pun boleh.
