Ramai yang terus menyalahkan isteri arwah ataupun terus cakap makcik tu betul. Hakikatnya, kita tak tahu fakta penuh kes ni.
Boleh jadi ada beberapa senario yang berbeza.
1. Semua harta pusaka sebenarnya dah pun dibahagikan secara faraid.
Ramai tak sedar, dalam pembahagian pusaka, faraid menentukan bahagian nilai yang setiap waris berhak terima, bukan semestinya setiap aset perlu dipotong ikut pecahan faraid.
Contohnya, duit KWSP mungkin kekal pada isteri, manakala waris lain menerima aset lain seperti rumah, wang tunai atau pelaburan, dengan syarat nilai keseluruhan yang diterima setiap waris bersamaan hak faraid mereka dan dipersetujui semua waris.
Kalau ini yang berlaku, maka makcik tersebut memang sudah tiada tuntutan lagi ke atas wang KWSP itu.
2. Isteri arwah memang penama, tetapi tidak memahami tanggungjawab sebagai pemegang amanah.
Ini juga boleh berlaku. Masih ramai yang menyangka apabila duit KWSP masuk ke akaun penama, duit itu automatik menjadi hak mutlak penama.
Sedangkan bagi orang Islam, penama KWSP berperanan sebagai pemegang amanah untuk menguruskan agihan mengikut hukum pusaka.
Saya sendiri pernah menguruskan kes klien yang kehilangan suami. Duit KWSP memang masuk ke akaunnya sebelum sijil faraid siap. Tetapi kerana beliau memahami tanggungjawab sebagai penama, beliau langsung tidak menggunakan wang tersebut sehingga semua urusan pusaka selesai dan setiap waris menerima bahagian masing-masing.
Sebab itu, sebelum kita menghukum mana-mana pihak, kita kena tahu fakta sebenar kes tersebut.
Dan nak kata KWSP langsung tak buat penerangan pun kurang tepat. Maklumat mengenai fungsi penama memang ada di laman web, risalah dan penerangan pegawai. Cuma realitinya, masih ramai yang tidak mengambil tahu atau tersalah faham tentang peranan penama.
Akhir sekali, sebab itulah perancangan harta bukan sekadar letak penama. Kita juga perlu faham fungsi penama, hibah, amanah dan proses faraid supaya keluarga tidak berdepan pertikaian apabila kita sudah tiada.
