Tadi masa aku pergi KLIA nak ambik isteri aku, nampak satu kereta Viva kena bayar RM100 masa nak keluar dari kawasan Arrival.
Dalam hati aku terus cakap, mesti sebab tunggu terlalu lama.
Dah lama dah KLIA buat polisi ni. Kalau tunggu bawah 10 minit masih percuma. Logiknya memang masuk akal. Kalau semua orang boleh tunggu lama-lama dekat Arrival, memang jem teruk jadinya.
Yang pelik bukan pasal caj RM100 tu.
Yang pelik, macam mana masih ada orang yang boleh kena caj sampai RM100?
Masa nak masuk dah ada papan tanda tunjuk caj maksimum RM100.
Ada jadual caj ikut tempoh menunggu.
Siap ada monitor yang tunjuk nombor pendaftaran kereta dan berapa lama dah menunggu sebagai peringatan.
Maksudnya, bukan tak tahu.
Bukan tak nampak.
Bukan tak diberitahu.
Padahal ada beberapa pilihan lain:
– Tunggu dekat kawasan long term parking yang disediakan (percuma)
– Masuk short term parking dan bayar ikut jam (masih jauh lebih murah daripada RM100).
– Tunggu dekat arrival 7-8 minit kemudian pusing satu round dahulu kalau orang yang nak diambil masih belum keluar.
Tapi ramai tetap pilih untuk tunggu.
Aku rasa benda macam ni bukan berlaku dekat KLIA saja.
Dalam kewangan pun sama.
Orang dah tahu kad kredit ada caj faedah.
Orang dah tahu personal loan akan potong gaji setiap bulan.
Orang dah tahu kereta mahal akan ikat komitmen bertahun-tahun.
Orang dah tahu kalau tak menyimpan, nanti susah bila kecemasan datang.
Maklumat ada.
Peringatan ada.
Pilihan lain pun ada.
Tapi kadang-kadang kita tetap buat keputusan yang kita tahu akan menyebabkan kita “kena caj” pada masa depan.
Bezanya dekat KLIA, caj maksimum RM100.
Dalam kewangan, caj kepada keputusan yang salah kadang-kadang boleh mencecah puluhan ribu ringgit, malah bertahun-tahun untuk diperbaiki.
