rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“Gaji naik RM 5,000, gaji wife masih RM 1,800, patut ke aku cari lain”

Aku tak nak komen pasal soalan yang dia tanya dalam posting dia tu. Pada aku, dia cuma nak cari orang yang sokong apa-apa keputusan yang dia nak buat. Supaya dia boleh deflect accountability.

Aku cuma nak kongsi pengalaman aku sendiri tentang perkahwinan dan kerjaya.

Kalau nak kira, aku mula bekerja lebih awal sedikit daripada isteri sebab aku grad lebih awal. Gaji pertama aku RM1,900 sebulan, manakala gaji pertama dia RM1,600 sebulan.

Tak banyak pun bezanya.

Masa awal kahwin dulu, memang kami banyak berbincang tentang bagaimana nak uruskan kewangan keluarga. Dia pun bersetuju untuk membantu sebahagian perbelanjaan rumah, lebih kurang 30%.

Pada masa yang sama, kami juga berbincang tentang hala tuju kerjaya masing-masing.

Akhirnya dia memilih untuk bekerja dengan Malaysia Airlines kerana itu memang tempat yang dia impikan. Aku pula yang banyak berpindah-pindah syarikat untuk menimba pengalaman, membina kerjaya dan meningkatkan pendapatan.

April tahun lepas, dia berhenti kerja selepas hampir 20 tahun berkhidmat.

Secara jujurnya, selain daripada gaji permulaan dia dulu, aku tak pernah ambil tahu berapa gaji dia selepas itu.

Sebab dari awal lagi, dalam fikiran aku, aku nak cuba tanggung semuanya.

Apabila keadaan kewangan semakin baik, kereta, minyak dan tol untuk dia pergi kerja pun aku yang tanggung.

Jadi bagi aku, gaji isteri tak pernah menjadi ukuran sama ada dia green flag atau red flag. Tak pernah juga menjadi ukuran sama ada dia sekufu dengan aku atau tidak.

Sebab itu bukan kriteria utama yang aku cari dalam pasangan hidup.

Aku mencari pasangan yang saling melengkapi, bukannya pasangan untuk berlumba siapa lebih berjaya dalam kerjaya.

Malah, kerana isteri aku tidak mempunyai keinginan untuk mengejar kerjaya secara agresif, aku dapat mengambil lebih banyak risiko dalam perjalanan hidup dan kerjaya aku sendiri.

Dan secara tidak langsung, itu membantu aku mencapai banyak perkara yang aku capai hari ini.

Perkara yang sama juga aku lihat dalam kalangan ramai klien.

Ramai suami, apabila mereka mampu, sebenarnya tidak terlalu kisah sama ada isteri mereka mahu mengejar kerjaya atau tidak.

Tadi pun aku berjumpa dengan sepasang klien.

Isterinya berhenti kerja tahun lepas dan sudah enam bulan tidak bekerja.

Bila ditanya, dia kata seronok juga tidak bekerja. Cuma kalau ada sesuatu yang menarik untuk dibuat, dia terbuka untuk mencuba, asalkan bukan kerja 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Suaminya pula cuma jawab ringkas:

“Tak kerja pun tak apa. Simpanan kami tak berkurang pun.”

Mungkin sebab itu aku kurang setuju bila nilai seseorang pasangan diukur semata-mata berdasarkan gaji atau perkembangan kerjayanya.

Pendapatan memang penting.

Tetapi dalam perkahwinan, ada banyak bentuk sumbangan yang tidak muncul dalam slip gaji.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *