rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Ambil hak orang tanpa kita sedar

Masa kali pertama aku nampak post ni, aku macam nak tergelak sebab ingat, alah, ni benda budak2 masa remaja buat dulu.

Tapi bila fikir balik, sebenarnya ni adalah contoh kita mengambil hak orang lain secara sedar / tak sedar.

Kalau ikut konsep perancangan kewangan, kita selalu tengok duit keluar masuk dan akan cuba uruskan secara logik. Kalau duit keluar banyak, kita cuba kurangkan belanja atau tambahkan pendapatan supaya cashflow kita jadi positif.

Tapi pernah tak terasa, macam-macam kita buat yang sepatutnya dah selesaikan masalah kewangan kita tu, tapi tak setel-setel lagi?

Tu sebab dalam perancangan kewangan Islam, konsep keberkatan rezeki tu sangat diketengahkan. Sebab ada kemungkinan isu kewangan kita tak selesai sebab kita ada ambil hak orang lain ataupun pendapatan kita datang dari sumber yang tak berkat.

Berikut adalah 10 contoh yang mungkin relevan untuk ramai orang dekat luar sana.

1. Parking double park dan block kereta orang lain sebab “kejap je”.

Ni kalau dekat kawasan sibuk memang selalu jadi. Aku pernah terkena sendiri. Nak keluar pergi meeting, orang tu letak nombor telefon tapi call tak angkat. Last-last 30 minit kemudian baru muncul terhegeh-hegeh nak alihkan kereta.

Aku dah lambat untuk meeting.

Kadang-kadang kita rasa kita cuma “susahkan orang sikit je”, tapi sebenarnya kita dah ambil hak masa dan urusan orang lain.

2. Lambat bayar hutang kawan walaupun sebenarnya mampu bayar.

Bila nak pinjam, merayu-rayu. Tapi bila orang mintak balik duit dia, kita buat macam dia tengah mintak sedekah.

Pernah tak terfikir, bila kita liat bayar hutang orang, kenapa kewangan kita sendiri macam selalu sempit dan tak tenang?

3. Ambil barang pejabat untuk kegunaan sendiri sebab rasa benda kecil.

Kertas A4, pen, toner printer dan macam-macam lagi.

Ramai buat sebab rasa syarikat tak rugi apa pun. Tapi kalau tak minta izin, itu tetap mengambil hak orang lain tanpa kebenaran.

4. Guna software, movie atau game cetak rompak.

Dulu masa belajar aku pun pernah buat. Tapi lepas dah kerja, Alhamdulillah cuba guna semua yang berlesen ataupun freeware.

Sebab bila fikir balik, orang keluarkan modal, tenaga dan masa untuk hasilkan benda tu. Kita guna tanpa bayar.

5 Berniaga tapi sengaja lambat bayar supplier kecil walaupun customer dah bayar kita.

Supplier tu nak rolling duit. Nak bayar staff. Nak bayar komitmen. Tapi kita hold payment sebab nak simpan cash lebih lama dekat akaun sendiri.

Kadang-kadang kita tak sedar keuntungan kecil yang kita kejar tu sebenarnya datang dari menyusahkan orang lain.

6. Cancel appointment last minute tanpa sebab munasabah.

Especially dengan freelancer, consultant atau doktor.

Orang tu dah reserve masa untuk kita. Kalau memang tak boleh datang, bagitau awal. Mungkin slot tu boleh diberikan kepada orang lain.

Appointment yang kita anggap “alah nanti reschedule” tu mungkin beza antara cukup atau tak cukup duit orang tu bulan tersebut.

7. Guna duit isteri atau anak tanpa izin dan tanpa plan nak ganti balik.

Faham ramai orang terdesak dengan keadaan kewangan sekarang.

Tapi duit tu tetap bukan hak kita.

Kalau terguna sebab darurat sekalipun, kena ada rasa tanggungjawab untuk ganti balik.

8. Ambil konten orang lain tanpa izin.

Copy tulisan orang bulat-bulat. Buang watermark. Repost macam kita yang hasilkan.

Orang tu ambil masa berjam-jam fikir, menulis dan edit content tu. Tapi kita ambil jalan mudah untuk dapat engagement.

9. Ambil credit hasil kerja orang lain dekat pejabat.

Orang lain yang stay up siapkan kerja. Orang lain yang fikir solution. Orang lain yang settle masalah.

Tapi kita pula yang ke depan masa presentation dan dapat promotion, increment atau bonus.

Hak penghargaan orang lain pun sebenarnya adalah hak.

10. Dapat pendapatan daripada sumber yang tak halal.

Contohnya terlibat dengan riba, jual produk yang haram, cetak rompak dan sebagainya.

Saya pernah tengok sendiri orang yang income RM40k sebulan ke atas sebab terlibat dalam menjual insurans (bukan takaful), tapi kewangan dia tetap bocor sana sini.

Bila ditegur pasal sumber pendapatan, dia marah. Dia rasa kalau tinggalkan benda tu, macam mana nak sara keluarga.

Tapi dalam Islam, bukan semua duit yang banyak tu membawa ketenangan.

Kadang-kadang kita ingat ambil hak orang ni cuma pasal duit atau harta.

Sebenarnya hak orang ni luas.

Hak masa. Hak ketenangan. Hak peluang. Hak reputasi. Hak tenaga. Hak penghargaan.

Dan yang paling bahaya, banyak benda ni dah jadi normal dalam kehidupan harian sampai orang dah tak rasa bersalah pun.

Mungkin langkah pertama yang kita boleh mula buat hari ni adalah audit kehidupan sendiri.

Tengok balik ada tak hak orang lain yang kita pernah “terambil”, sengaja atau tak sengaja.

Kalau ada, cuba perbaiki satu demi satu.

Mana tahu, sebahagian masalah kewangan yang selama ni rasa berat dan sempit tu sebenarnya mula ringan bila kita mula jaga hak orang lain dan cari keberkatan dalam rezeki.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *