Pada tahun 2013, satu kumpulan penyelidik telah menjalankan satu kajian untuk melihat bagaimana tekanan kewangan mempengaruhi keupayaan manusia dalam berfikir.
Mereka mengkaji 464 petani tebu di India, di mana golongan ini kebiasaannya hanya menerima sebahagian besar pendapatan mereka selepas musim menuai.
Setiap petani menjalani ujian kognitif sebanyak dua kali:
sekali sebelum musim menuai, ketika kewangan mereka lebih sempit, dan sekali lagi selepas musim menuai apabila keadaan kewangan mereka lebih stabil.
Keputusannya dari kajian itu sangat menarik.
Sebelum musim menuai, prestasi mereka dalam ujian menurun dengan ketara. Penurunan fungsi kognitif itu bersamaan kehilangan sekitar 13 mata IQ iaitu hampir sama seperti kesan berjaga semalaman tanpa tidur.
Inilah yang dipanggil sebagai psikologi kekurangan (scarcity).
Bila duit sempit, fikiran kita dipenuhi dengan tekanan untuk terus bertahan hidup. Bil perlu dibayar, komitmen berjalan, kecemasan muncul tanpa dijangka.
Bukan semua orang gagal membuat keputusan baik sebab mereka tak pandai.
Kadang-kadang mereka cuma terlalu penat dan terlalu tertekan untuk berfikir dengan jelas.
Sebagai seorang perancang kewangan, saya melihat perkara ini berlaku dalam kehidupan sebenar.
Ramai orang yang berada dalam tekanan kewangan akhirnya membuat keputusan yang memburukkan lagi keadaan mereka, bukan sebab mereka bodoh, tetapi sebab mereka rasa tiada pilihan lain pada waktu itu.
Saya pernah jumpa pemilik bisnes yang terus ambil projek rugi semata-mata nak pastikan cashflow terus bergerak.
Ada individu yang terpaksa guna kad kredit untuk tanggung kecemasan sebab tak ada simpanan kecemasan.
Ada juga yang kekal bekerja dalam persekitaran toksik hanya kerana kewangan mereka tidak memberi ruang untuk berhenti.
Apabila seseorang hidup dalam survival mode terlalu lama, fokus jangka panjang mula hilang.
Tetapi perkara yang menarik ialah…
Apabila keadaan kewangan mula stabil, cara mereka membuat keputusan juga berubah.
Sedikit demi sedikit, mereka mula nampak lebih tenang, lebih yakin, dan mampu berfikir untuk jangka panjang.
Seorang klien saya berhenti melompat kerja demi kenaikan gaji kecil, dan mula fokus membina kemahiran serta kepakaran. Dalam tempoh empat tahun, pendapatannya meningkat hampir 100%.
Seorang lagi klien pula mula menolak kerja-kerja low margin yang sebelum ini membebankan syarikat dan pasukan mereka. Bila cash reserve semakin kukuh, mereka akhirnya dapat memilih klien yang lebih berkualiti dan keuntungan bisnes juga meningkat.
Hakikatnya, kebolehan untuk membuat keputusan yang baik memang sudah ada dalam diri ramai orang.
Cuma kadang-kadang, mereka belum ada ruang kewangan untuk berfikir dengan tenang.
Sebab itu financial planning bukan sekadar pasal duit.
Ia tentang mewujudkan kestabilan supaya keputusan hidup kita tidak lagi dibuat dalam keadaan takut, panik, atau terdesak.
Persoalannya…
Bila kali terakhir anda beri diri sendiri ruang kewangan untuk berfikir dengan jelas?
