rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“Minimum wage nak jadi RM3,000?”

Tadi aku terbaca satu berita daripada The Star bahawa kerajaan menyatakan sasaran untuk menaikkan gaji minimum di Malaysia kepada RM3,000 menjelang 2030. Ini kenaikan lebih nak dekat sekali ganda dalam masa 3-4 tahun yang akan datang ni.

Bila baca headline macam ni, reaksi paling biasa yang aku nampak adalah ini langkah yang ke arah yang betul kalau kita nak jadi negara yang berpendapatan tinggi (high income nation). Macam satu harapan bahawa hidup akan jadi lebih mudah. Gaji naik, jadi beban hidup pun sepatutnya akan jadi lebih ringan.

Tapi bila aku cuba hadam apa kesan polisi ni dan fikir lebih dalam, soalan sebenar bukan sekadar “gaji naik atau tidak”. Soalan yang lebih penting adalah, bila sampai 2030 nanti, adakah RM3,000 itu masih membawa nilai yang sama seperti RM3,000 hari ini?

Dalam pengalaman aku berjumpa ramai klien dari pelbagai latar belakang, satu perkara yang konsisten adalah ini: setiap kali pendapatan naik secara menyeluruh dalam ekonomi, kos hidup juga akan berlumba juga untuk naik sama. Selalunya bukan naik pada kadar yang sama, inflasi akan naik lagi cepat dari kenaikan gaji.

Ia bukan teori, tapi realiti yang berlaku berulang kali. Bila gaji minimum naik, majikan akan berdepan dengan kos operasi yang lebih tinggi. Untuk kekal bertahan, mereka ada beberapa pilihan sahaja iaitu cuba serap kos tersebut (yang biasanya tak bertahan lama), tingkatkan harga produk atau servis, atau ubah struktur tenaga kerja mereka.

Dan dalam kebanyakan kes, ketiga-tiga ini akan berlaku serentak. Akhirnya, pengguna akan mula rasa harga barang semakin mahal. Makan di luar naik, servis naik, sewa mungkin naik. Pada masa yang sama, syarikat akan mula lebih berhati-hati dalam mengambil pekerja. Mereka akan cari orang yang boleh beri lebih nilai, bukan sekadar isi kekosongan. Automation akan jadi lebih menarik, dan kerja-kerja yang sebelum ini dianggap “entry level” mungkin akan semakin berkurang.

Di sinilah realiti mula berubah. Kenaikan gaji minimum yang sepatutnya membantu, dalam masa yang sama mencipta satu persekitaran baru yang lebih kompetitif.

Aku selalu lihat perkara ini dari sudut yang lebih besar. Polisi seperti ini bukan sekadar tentang menaikkan angka gaji. Ia sebenarnya adalah sebahagian daripada usaha untuk mengubah struktur ekonomi negara.

Malaysia sedang cuba bergerak daripada ekonomi yang bergantung kepada tenaga kerja murah kepada ekonomi yang berasaskan kemahiran dan produktiviti. Dalam dunia seperti ini, nilai seseorang tidak lagi diukur sekadar pada berapa lama dia bekerja, tetapi apa yang dia boleh hasilkan.

Jadi bila kita dengar sasaran RM3,000 ini, mungkin soalan yang lebih jujur untuk kita tanya diri sendiri bukanlah “best ke tak”, tetapi “aku berada di mana dalam perubahan ini?”

Kalau hari ini kita masih berada di tahap yang sama, melakukan perkara yang sama, tanpa peningkatan dari segi kemahiran atau nilai diri, kenaikan gaji minimum mungkin tidak memberi kesan seperti yang kita bayangkan. Kita mungkin akan rasa seperti berlari, tapi tak bergerak ke mana-mana.

Sebaliknya, bagi mereka yang mengambil peluang untuk upgrade diri, memahami bagaimana untuk jadi lebih produktif, lebih bernilai, lebih sukar digantikan — perubahan ini boleh jadi titik lonjakan. Dalam ekonomi yang sedang naik taraf, mereka yang bersedia akan ditarik naik lebih laju daripada yang lain.

Aku bukan kata sasaran ini tidak baik. Malah, ia satu langkah yang penting untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia boleh mencapai tahap kehidupan yang lebih selesa. Tetapi seperti kebanyakan perkara dalam kewangan, angka semata-mata tidak menceritakan keseluruhan cerita.

Kerajaan boleh menetapkan dasar dan sasaran. Tapi pada akhirnya, bagaimana kita menyesuaikan diri dengan perubahan itu akan menentukan sama ada kita benar-benar mendapat manfaat, atau sekadar rasa seperti hidup semakin mahal dengan angka yang lebih besar.

Mungkin menjelang 2030 nanti, RM3,000 akan jadi angka baru untuk “cukup-cukup makan”. Dan kalau itu berlaku, persoalan yang tinggal adalah, adakah kita masih berada di garis minimum itu, atau kita sudah bergerak jauh ke hadapan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *