rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Kerja makan gaji vs kerja sendiri, Apa perbezaan dari segi lifestyle?

Soalan ni dapat dari Asyrol Akmal. Terima kasih bagi idea nak tulis apa. Kadang2 tu otak beku juga nak fikir apa topik nak tulis.

Soalan ni nampak simple. Tapi kalau kita tengok betul-betul, ia bukan sekadar pilihan kerjaya. Ia sebenarnya pilihan macam mana kita nak hidup. Secara dasarnya, ramai akan nampak yang makan gaji lebih stabil, selamat tapi kerja sendiri ni bebas, dan berpotensi yang lebih besar.

Perspektif tu tak salah pun, tapi realitinya, persoalan ni lebih kompleks dari tu.

Aku akan cuba kupas pendapat aku pasal topik ni, sebab

1. Aku pernah kerja makan gaji dari tahun 2004-2014

2. Aku sekarang kerja sendiri dari tahun 2015 dan bukak syarikat aku sendiri pada tahun 2016

1. Struktur hidup: teratur vs tidak bersempadan

Kalau kerja makan gaji, hidup kita ada struktur. Bangun pagi, pergi kerja, balik petang. Ada rutin. Ada boundary. Bila habis waktu kerja, kita boleh letak kerja tepi (walaupun kadang-kadang tetap terbawa balik).

Kerja sendiri pula nampak flexible. Tak perlu punch card. Tak ada boss. Tapi di sinilah ramai tersilap faham. Bila tak ada struktur, kerja dan hidup mula bercampur. Pagi boleh jadi petang. Weekday boleh jadi weekend. Rehat pun rasa bersalah. Akhirnya bukan lebih bebas tapi jadi tiada sempadan.

Kalau siapa2 ada keinginan nak kerja sendiri sebab nak bebas, berdasarkan pengalaman aku sendiri, memang ada flexibility dari segi kawal masa kita, tapi kadang2 aku rasa macam lagi banyak jer aku kerja dari masa kerja makan gaji dulu.

2. Income: konsisten vs tidak menentu

Kalau makan gaji, setiap bulan ada duit masuk. Kalau sakit boleh MC, kalau penat boleh cuti. Tapi gaji still akan masuk. Sebab ada gaji bulanan, senang sikit nak buat perancangan dan bajet bulanan. Sebab kita tahu jumlah yang masuk bulan2. Kalau ada dapat bonus, kita boleh rancang nak gunakan bonus untuk reward diri kita. Simpanan persaraan pun dah ada sebab wajib carum EPF. Jadi kalau tak menyimpan pun, busuk2 ada juga duit bila dah pencen nanti.

Kalau kita kerja sendiri, income kita akan naik turun. Ada bulan tinggi giler, tapi ada bulan krik krik. Kerja sendiri ni kita kena usaha lebih untuk pastikan income kita cukup dan kena rancang kewangan kita dengan lebih teratur sebab income kita tak tetap. Kalau kita rancang perbelanjaan berdasarkan bulan income tinggi, nanti bulan income rendah confirm nangis tak berlagu. Kalau tak pandai uruskan kewangan, kemungkinan besar takde simpanan langsung sebab takde orang paksa kita menyimpan.

Untuk yang bekerja sendiri, kita kena kira siap2 perbelanjaan kita, lepas tu usaha cari pendapatan. Duit simpanan kena tebal, kena ada simpanan kecemasan 12 bulan minimum sebab mungkin income kita lagi affected bila ekonomi merudum. Kalau kita sakit, ke nak rehat, kena rancang betul2 sebab masa tak kerja mungkin takde income. Tapi income kita potentially unlimited, bergantung kepada usaha kita dan rezeki yang Allah nak beri.

3. Stress: siapa yang tekan kita?

Kalau makan gaji, stress boleh datang dari boss, rakan sekerja, KPI yang tak fair, office politics, dan macam2 lagi Tapi kalau kita boleh separate antara kerja dengan personal, bila balik rumah… kita ada peluang untuk “switch off”. Kecuali dapat boss yang jenis kacau luar waktu kerja lah, kalau macam tu, silalah pergi cari kerja lain.

Kalau kerja sendiri pula, kalau sales tak masuk, client slow bayar, atau ada staff yang bawak problem, atau ada isu cashflow (yang ni boleh bagi nightmare). Tekanan yang kita terima tu sentiasa dan berterusan. Balik rumah pun, dalam kepala otak selalu fikir pasal kerja sebab memang benda tu 24/7. Nak cuti / rehat pun rasa bersalah.

Walaupun company aku dah stabil berbanding dengan awal2 kerja sendiri dulu, beban kerja tu masih aku bawak balik rumah. Cuma tak teruk macam dulu sebab company dah ok banyak. Tapi bila tengok klien2 yang bisnes masih terumbang ambing, memang kepala otak diaorang sentiasa stress fikirkan pasal kelangsungan syarikat.

4. Growth: ada limit vs tiada limit

Kalau makan gaji, kenaikan gaji ada range dan ada career progression jelas. Risiko terkawal. Kalau nak gaji lebih tinggi, boleh cari kerja lain. Tapi kalau stay tempat yang sama, mungkin kenaikan gaji akan jadi limited. Bonus pun tengok performance syarikat, mungkin ada mungkin takde. Kalau kita jenis duit bulan2 tak cukup, dan harapkan bonus, boleh tarik rambut bila bonus takde.

Bila kerja sendiri pula, potensi kita tak ada limit. Nak sikit atau banyak bergantung kepada diri kita sendiri. Mungkin awal2 kita akan struggle, tapi kalau kita konsisten, lama kelamaan kita mungkin akan berjaya. Tapi bila dah naik ni, kalau jatuh tu akan jauh lebih sakit sebab kita takde backup income kalau bisnes kita lingkup. Sebab tu penting kita tak hidup ikut pendapatan, tapi hidup berdasarkan keperluan.

Kesimpulannya,

Dua2 ada kelebihan dan kekurangan masing2. Dari segi perancangan kewangan, cara aku akan nasihat klien yang makan gaji versus kerja sendiri akan berbeza sebab memang jalan hidup diaorang tak sama.

Nak pilih yang mana?

Ikut mana yang sesuai untuk diri kita. Kalau kita jenis susah nak disiplinkan diri, jangan gatal kerja sendiri. Kalau yang susah nak ikut orang, jangan pula pergi kerja makan gaji.

Kenalpasti matlamat kewangan masing2 dan cari cara hidup yang paling sesuai dengan kita dan kita tak menyusahkan orang lain sekeliling kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *