Sebagai seorang perancang kewangan yang dah praktis dari 2017, dan dah buat beratus2 financial plan, berikut adalah 20 perkara yang saya takkan buat dengan duit saya sendiri.
Bukan sebab saya kedekut. Tapi sebab saya dah tengok terlalu ramai orang rosakkan hidup sendiri, hanya sebab buat keputusan kewangan yang nampak kecil.
1. Saya takkan berhutang untuk nampak kaya, Buat apa ada kereta besar, phone mahal, lifestyle mewah, tapi semua pakai hutang.
Nampak kaya tak sama dengan betul-betul kaya.
2. Saya takkan guna personal loan untuk melabur. Kenapa nak ambik hutang untuk masuk emas, saham, crypto, business, unit trust?
Kalau untung, orang nampak bijak.
Kalau rugi, hutang tetap kena bayar.
Pelaburan tak patut bermula dengan tekanan.
3. Saya takkan beli barang hanya sebab “monthly murah”
Masalahnya… bila semua benda “murah sebulan”, hujung bulan poket kau yang mahal.
4. Saya takkan keluarkan simpanan kecemasan untuk benda bukan kecemasan.
Sale bukan kecemasan.
Raya bukan kecemasan.
Travel bukan kecemasan.
Tukar phone bukan kecemasan.
Emergency fund wujud untuk lindungi hidup, bukan penuhi nafsu.
5. Saya takkan pakai kad kredit kalau tak mampu bayar full.
Kalau setiap bulan hanya bayar minimum, sebenarnya kita bukan beli barang tapi kita sedang beli beban yang berpanjangan.
6. Saya takkan beli kereta yang makan lebih dari kemampuan sebenar.
Bukan ikut “bank lulus”.
Bukan ikut “salesman kata boleh”.
Bank lulus tak bermaksud kewangan awak sihat.
7. Saya takkan beli rumah hanya sebab takut “rugi kalau sewa”
Memang aku dah beli rumah pun, tapi masa aku beli tu harga rumah masih harga masuk akal, jadi dari segi kewangan still okay nak proceed.
Tapi dengan harga rumah sekarang, kalau aku baru nak beli, aku ok jer nak sewa.
Buat apa nak beli rumah, lepas tu cashflow sesak, komitmen tinggi, hidup jadi sempit.
Rumah patut sesuai dengan kewangan, bukan ego.
8. Saya takkan letak semua duit dalam satu tempat
Semua dalam ASB.
Semua dalam saham.
Semua dalam property.
Semua dalam business sendiri.
Kalau satu benda sangkut, semua benda terasa.
Jangan taksub dengan mana2 instrumen, sampai tak nampak yang lain.
Ni tak sama macam kahwin lebih dari satu, kita digalakkan melabur dalam instrumen2 yang berbeza.
9. Saya takkan jadi penjamin sesuka hati
Nak tolong orang itu baik. Tapi jadi guarantor tanpa fikir risiko boleh rosakkan rekod kewangan sendiri.
Tolong orang jangan sampai bank kejar kita pula.
10. Saya takkan tangguh hibah, wasiat, penamaan, dan perlindungan.
Memang dah settle pun. Ye lah kita advice orang, takkan yang kita punya sendiri asyik pending jerm
Ramai rasa benda ni “nanti dululah”.
Masalahnya… kemalangan dan kematian tak pernah tunggu kita bersedia.
11. Saya takkan percaya “kawan kata confirm untung”
Setakat ni, alhamdulillah tak pernah lagi invest dekat scam sebab kawan. Tak kisah lah rapat macam mana pun.
Tapi ada pula kawan yang petik nama aku untuk yakinkan orang lain pasal mana2 scam.
12. Saya takkan melabur dalam benda yang saya sendiri tak faham. Kalau tak boleh explain balik dengan ayat mudah, jangan letak duit.
Sebab tu saya bukan jenis FOMO dalam mana2 pelaburan baru. Takpa tak jadi orang terawal nak invest, dari terjebak sampai rugi duit yang kita penat kumpul.
13. Saya takkan guna duit KWSP macam duit bonus
KWSP bukan tabung raya.
Bukan tabung renovation.
Bukan tabung beli gadget.
KWSP ialah duit untuk masa kita dah tak mampu bekerja.
14. Saya takkan besarkan lifestyle setiap kali gaji naik. Tapi bukannya tak naik langsung. Cuma peratusan naik belanja tu tak sepatutnya sama dengan kenaikan pendapatan.
Buat apa pendapatan naik tapi hidup tetap sempit.
Income naik tak semestinya masalah selesai kalau perangai tak berubah.
15. Saya takkan anggap takaful itu beban semata-mata
Ramai rasa rugi sebab “bayar tapi tak claim”.
Hakikatnya, yang mahal bukan contribution bulanan…
yang mahal ialah bila musibah datang masa kita tak bersedia.
16. Saya takkan campur duit bisnes dan duit peribadi sesuka hati.
Bisnes nampak “masuk banyak”. Tapi owner tak tahu untung sebenar sebab duit keluar ikut suka.
Ramai bukan bisnes rugi. Ramai owner yang tak berdisiplin.
17. Saya takkan kejar return tinggi tanpa tengok risiko
Kalau orang janji 12%, 15%, 20% setahun, soalan pertama bukan “berapa boleh masuk?”
Soalan pertama ialah:
“Apa risiko dia kalau benda ni tak jadi macam yang dijanjikan?”
18. Saya takkan buat keputusan kewangan besar sebab bandingkan diri dengan orang lain
Kawan beli rumah, kita nak beli.
Kawan tukar kereta, kita nak tukar.
Kawan buat side income, kita pun nak join semua.
Kalau keputusan dibuat sebab tekanan sosial, selalunya penyesalan akan datang kemudian.
19. Saya takkan abaikan cashflow walaupun aset banyak
Ada orang aset berjuta, tapi hujung bulan still semput.
Kaya atas kertas tak membantu kalau cashflow nazak.
20. Saya takkan buat keputusan kewangan hanya untuk sedapkan hati hari ini
Ramai orang pilih:
beli untuk rasa seronok
berhutang untuk nampak berjaya
spend untuk hilangkan stress
Masalahnya, keputusan yang sedapkan hati hari ini, kadang-kadang menyusahkan hidup bertahun-tahun.
Kewangan bukan rosak sebab satu keputusan besar.
Selalunya ia rosak sebab tabiat kecil yang dibuat berulang kali.
Orang miskin tak semestinya sebab pendapatan kecil. Kadang-kadang sebab keputusan yang salah, berterusan dibuat terlalu lama.
Kalau nak hidup tenang, bukan semua benda kita kena beli. Bukan semua peluang kita kena masuk dan bukan semua hutang kita kena ambil.
Kadang-kadang, kunci kewangan yang sihat adalah benda yang kita berani TOLAK.
