rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Kalau kita hilang, bukan meninggal dunia… keluarga kita macam mana?

Aku terbaca berita tentang isteri kepada seorang anggota bomba yang dilaporkan hilang di Nepal sejak Ogos lalu.

Antara perkara yang menarik perhatian aku ialah suaminya mempunyai simpanan dan perlindungan takaful yang mencukupi untuk menyelesaikan hutang serta komitmen kewangan keluarga.

Tetapi masalahnya, segala urusan masih tergendala kerana status suaminya belum dapat disahkan secara rasmi sebagai meninggal dunia.

Ini sebenarnya satu situasi yang kita jarang fikir dalam perancangan kewangan.

Kita selalu merancang kalau kita meninggal dunia.

Kita ambil takaful, kita buat hibah, kita sediakan wasiat, kita simpan duit dan kita kurangkan hutang.

Tapi bagaimana kalau kita bukan meninggal dunia, sebaliknya hilang?

Contohnya, berlaku kemalangan, bencana alam, hilang ketika perjalanan atau apa-apa kejadian yang menyebabkan kita tidak dapat dihubungi dan keberadaan kita tidak diketahui.

Apa yang berlaku kepada kewangan keluarga?

1. Ada aset tidak bermaksud keluarga boleh terus mengaksesnya.

Wang dalam akaun bank kita bukan secara automatik boleh diakses oleh pasangan hanya kerana mereka suami isteri.

Begitu juga dengan pelaburan, simpanan dan aset lain.

Hak untuk mengakses atau mengurus aset tersebut bergantung kepada pemilikan, dokumen dan proses undang-undang yang berkaitan.

Jadi, walaupun kita mempunyai simpanan yang mencukupi, keluarga mungkin tidak dapat menggunakan wang tersebut ketika mereka paling memerlukannya.

2. Hutang dan komitmen tidak semestinya berhenti.

Pinjaman rumah, pinjaman kereta, kad kredit dan komitmen bulanan lain masih perlu diuruskan.

Keluarga mungkin terpaksa menggunakan duit sendiri untuk membayar komitmen tersebut sementara menunggu status kita disahkan dan urusan aset diselesaikan.

Ini boleh memberi tekanan kepada cash flow keluarga.

3. Takaful bukan semestinya boleh terus dituntut.

Walaupun kita mempunyai perlindungan takaful yang mencukupi, tuntutan tetap tertakluk kepada syarat sijil, bukti dan dokumen yang diperlukan.

Dalam keadaan kematian yang belum dapat disahkan, keluarga mungkin perlu menunggu proses pengesahan dan dokumentasi sebelum tuntutan boleh diproses.

Maksudnya, kita mungkin sudah menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk keluarga, tetapi wang tersebut belum tentu boleh diperoleh pada masa yang diperlukan.

Jadi, apa yang boleh kita buat?

Satu perkara yang aku selalu tekankan kepada klien ketika membuat perancangan kewangan ialah menyediakan tambahan sekurang-kurangnya 6 bulan perbelanjaan keluarga dalam instrumen yang boleh diakses oleh ahli keluarga sekiranya sesuatu berlaku kepada kita.

Ini berbeza daripada emergency savings biasa.

Tujuannya adalah untuk memastikan keluarga mempunyai kecairan atau liquidity sementara menunggu segala urusan berkaitan kita diselesaikan.

Antara instrumen yang boleh dipertimbangkan:

1. Hibah amanah

Sekiranya berlaku kematian, instrumen seperti hibah amanah melalui Tabung Haji atau ASB boleh membantu menyediakan akses kepada wang untuk penerima yang dinamakan, tertakluk kepada struktur, syarat dan proses pelaksanaan masing-masing.

Cuma kena faham bahawa proses pelaksanaan dan mekanisme kedua-dua instrumen ini tidak semestinya sama.

Dan satu perkara penting, hibah yang berkuat kuasa apabila berlaku kematian tidak semestinya menyelesaikan masalah sekiranya kita masih hidup tetapi hilang dan belum disahkan meninggal dunia.

2. Trust atau amanah

Ini antara instrumen yang boleh dipertimbangkan untuk situasi yang lebih kompleks.

Amanah boleh distrukturkan dengan syarat dan keadaan tertentu supaya trustee boleh menguruskan atau mengagihkan wang kepada benefisiari apabila trigger yang ditetapkan berlaku.

Contohnya, sekiranya pemberi amanah hilang atau tidak berupaya, bergantung kepada struktur dan terma deed yang disediakan.

Cuma, kos penubuhan dan penyelenggaraan trust boleh menjadi agak tinggi dan mungkin tidak praktikal untuk semua orang.

3. Joint account atau akaun bersama

Akaun bersama boleh menjadi salah satu pilihan untuk menyediakan akses kepada wang kecemasan.

Tetapi kena faham terma akaun, hak setiap pemegang akaun dan bagaimana bank mengendalikan situasi apabila salah seorang pemegang akaun meninggal dunia atau hilang upaya.

Jangan sekadar buka joint account tanpa memahami implikasinya.

4. Aset fizikal

Contohnya emas fizikal atau wang tunai yang disimpan di tempat selamat di rumah dan diketahui oleh pasangan.

Aset seperti ini boleh menjadi sumber kecairan sementara sekiranya berlaku kecemasan, tanpa perlu menunggu proses pengeluaran wang daripada akaun atau tuntutan takaful.

Tetapi aspek keselamatan, penyimpanan dan akses kepada aset tersebut juga perlu difikirkan.

Bukan semua orang perlu menggunakan semua instrumen ini.

Pemilihan bergantung kepada jumlah aset, keadaan keluarga, kos, risiko dan keperluan masing-masing.

Apa yang penting ialah kita jangan hanya merancang untuk keadaan apabila kita meninggal dunia.

Kita juga perlu merancang untuk keadaan apabila kita masih hidup, tetapi tidak lagi mampu menguruskan kewangan sendiri atau tidak dapat dihubungi.

Sebab dalam situasi seperti ini, keluarga mungkin bukan sahaja kehilangan sumber pendapatan.

Mereka juga mungkin kehilangan akses kepada wang yang sebenarnya sudah tersedia untuk kegunaan mereka.

Kita tak boleh mengawal semua perkara yang berlaku dalam hidup.

Tetapi sekurang-kurangnya kita boleh cuba mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh orang yang kita sayang.

Financial planning bukan sekadar memastikan duit kita cukup. Ia juga memastikan orang yang kita sayang boleh mendapatkan akses kepada duit tersebut apabila mereka paling memerlukannya.

Kadang-kadang, perancangan kewangan bukan tentang berapa banyak duit yang kita tinggalkan.

Tetapi berapa banyak masalah yang kita berjaya elakkan daripada diwariskan kepada keluarga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *