rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“If you give your kids money, it will kill their ambition.”

Ayat ni saya dengar daripada seorang podcaster minggu lepas. Masa tu saya terus teringat balik zaman kecil saya sendiri.

Saya lahir dalam keluarga yang kalau ikut standard hari ni, mungkin M40. Mak ayah saya dua-dua cikgu sekolah. Hidup kami selesa, tapi tak mewah. Rumah di Alor Setar, kos hidup masa tu jauh lebih murah daripada bandar-bandar besar.

Kami siap ada maid tinggal sekali—gaji dia masa tu RM150 sebulan. Semua keperluan hidup cukup. Makan minum tak pernah risau, yuran sekolah beres, pakaian sekolah semua lengkap. Tapi… kalau kami nak sesuatu yang kami mahukan, mak ayah tak akan terus bagi.

Saya masih ingat lagi, masa darjah 3, teringin sangat nak beli Atari. Masa tu duit yang saya ada datang daripada duit sunat—duit orang kampung dan saudara mara bagi masa saya berkhatan. Itu kali pertama saya betul-betul faham nilai simpan duit kalau nak capai sesuatu.

Lepas tu, masa sekolah menengah pula, komik Hong Kong jadi kegilaan ramai remaja lelaki. Mula-mula harga satu naskah RM1.80, lama-lama naik sampai RM3 atau RM3.50. Setiap minggu ada edisi baru, dan ada banyak siri berbeza pula tu. Dengan duit belanja sekolah daripada mak ayah setiap pagi, memang tak cukup kalau nak beli semua.

Jadi kena kreatif. Dekat rumah, saya buat kerja-kerja tambahan untuk dapat upah kecil. Dekat asrama MRSM pula, saya mula berniaga kecil-kecilan—jual Maggi dekat kawan-kawan. Dari situ dapatlah duit belanja tambahan, cukup untuk beli komik setiap minggu.

Itulah cara mak ayah kami ajar tentang beza keperluan dan kemahuan. Duit untuk makan, sekolah, dan benda penting—itu semua mak ayah akan sediakan. Tapi benda lain, kena usaha sendiri.

Bila saya dengar balik ayat “If you give your kids money, it will kill their ambition”, saya terfikir panjang…

Kalau masa tu mak ayah terus bagi semua yang saya nak? Atau siap bagi modal besar untuk mula bisnes? Apa akan jadi?

Mungkin saya akan mula bisnes lebih awal…
Mungkin saya akan belajar lebih banyak tentang scaling dan marketing masa umur belasan tahun…
Tapi mungkin juga… saya akan jadi cuai. Sebab bukan duit saya. Sebab kalau rugi, tak rasa sakit.

Hakikatnya, banyak benda saya belajar bukan daripada kemenangan, tapi daripada kesusahan.

Saya masih ingat semasa di MIT, tahun junior, saya terjebak dengan hutang kad kredit. Masa tu bukannya saya terus telefon mak ayah minta tolong. Sebaliknya saya cuba cari jalan sendiri untuk selesaikan hutang tu. Saya baca, saya belajar, saya cari kerja sambilan. Rasa tertekan memang ada, tapi itulah pengalaman yang ajar saya tentang disiplin kewangan dan risiko berhutang.

Kalau waktu tu saya terus minta duit dari parents, mungkin saya takkan belajar apa-apa.

Sekarang, saya dah jadi ayah. Anak-anak hidup jauh lebih selesa dari zaman saya kecil dulu. Tak mewah, tapi super comfortable.

Nak makan apa semua ada. Nak gajet apa pun kadang-kadang kami sediakan. Tahun depan anak sulung masuk universiti.

Dan persoalan sama datang balik:

Adakah keselesaan ini akan membantu, atau menyusahkan dia bila tiba masa berdikari nanti?

Saya tak nak anak saya susah seperti zaman dulu. Tapi saya juga tak nak dia hilang semangat nak berusaha sebab semua benda senang dapat.

Akhirnya, saya rasa jawapannya bukan pada duit semata-mata.
Yang penting ialah nilai, disiplin, dan pengalaman yang datang bersama duit tu.

Mungkin kita boleh bagi anak-anak duit… tapi dalam bentuk tanggungjawab.
Mungkin kita boleh bagi keselesaan… tapi tetap letak batas supaya mereka belajar buat keputusan sendiri.

Sebab duit semata-mata tak cukup.
Yang bentuk karakter anak kita ialah cara mereka belajar tentang kerja keras, kegagalan, dan usaha sendiri.

Apa pandangan anda?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *