Ramai orang ada masalah untuk lepaskan sesuatu keputusan, walaupun keputusan tu jelas tak beri manfaat lagi.
Kadang-kadang kita tahu keputusan tu tak membantu…
Tapi kita masih teruskan juga.
Kenapa?
Sebab kita rasa dah banyak sangat dikorbankan sebelum ni.
Dah labur duit, dah labur masa, dah buat keputusan besar.
Sayang nak undur. Tak sanggup nak “rugi”.
Kisah 1: Nak berhenti kerja sebab dah beli rumah
Baru-baru ini, saya bantu satu pasangan muda — suami isteri yang sedang berjauhan (PJJ) sebab kerja di dua lokasi berbeza.
Dalam sesi fact finding, si isteri nyatakan hasrat nak berhenti kerja dan pindah ikut suami, supaya boleh duduk sekali sekeluarga.
Kami pun buatlah semua senario kewangan:
📌 Kalau isteri berhenti kerja sekarang?
📌 Kalau tangguh dulu?
📌 Impak kepada cashflow, simpanan, dan matlamat jangka panjang?
Selepas pembentangan, mereka buat keputusan untuk tangguh dulu keputusan berhenti kerja.
Waktu tu, keputusan tu masuk akal.
Tapi selepas beberapa sesi susulan, saya bangkitkan semula soalan yang saya rasa ramai terlepas pandang:
“Kenapa isteri yang kena berhenti kerja dan ikut suami?”
“Adakah sebab rumah yang dah dibeli di lokasi kerja suami tu? Jadi, macam ‘kena’ duduk situ?”
“Pernah terfikir tak… kalau suami yang tukar kerja dan pindah ke KL — tempat yang lebih banyak peluang dan gaji pun mungkin lebih tinggi?”
Mereka terdiam sekejap.
Dan itulah hakikatnya.
Kadang-kadang, keputusan yang kita buat hari ini bukan berdasarkan apa yang terbaik untuk masa depan,
tapi untuk menghalalkan keputusan yang pernah kita buat dulu.
Itulah bentuk lain sunk cost fallacy.
Sama macam beberapa kisah lain yang pernah saya jumpa:
Kisah 2: Tak nak jual rumah sebab harga rendah dari harga beli
Semasa present pelan kewangan kepada klien baru, dia terkejut tengok gap besar untuk persaraan.
Saya cakap, itu normal kalau belum urus kewangan dengan optimum.
Dia tanya balik, “Macam mana nak buat jadi lebih optima?”
Saya ingatkan dia tentang satu perkara dari sesi fact finding:
Dia ada sebuah apartment. Tak duduk, tak sewakan.
Tapi juga tak nak jual sebab harga sekarang lebih rendah dari harga beli.
Tak nak sewakan pula sebab takut rosak.
Saya tunjukkan kira-kira:
- Kalau jual sekarang, walaupun rugi, dia dapat cash RM170,000.
- Kalau dilaburkan pada 6% setahun, selepas 15 tahun → jadi RM750,000+.
- Dan cashflow pun akan naik RM14,400 setahun sebab tak perlu bayar maintenance etc.
Dia senyap sekejap.
Lepas tu dia cakap:
“Saya tak pernah fikir dari sudut tu… saya cuma terikat dengan harga beli dulu.”
Kisah 3: Sayang nak letgo portfolio saham yang dah rugi 70%
Beberapa tahun lepas, seorang klien engage saya untuk kemaskan kewangan dia.
Kita dah betulkan banyak perkara — aliran tunai, perlindungan, simpanan.
Tapi ada satu bahagian yang dia tak nak lepaskan:
📉 Portfolio saham yang dah rugi hampir 70%.
Saya dah nasihatkan — potong kerugian dan susun semula.
Tapi dia cakap,
“Saya nak tunggu… nanti dia recover.”
2 tahun lepas tu, rugi jadi 90%.
Dia datang balik, dan cakap:
“Saya patut dengar dulu… tapi saya tak sanggup lepaskan, sebab dah rugi terlalu banyak.”
Dan itulah intipatinya:
🧠 Sunk cost fallacy bukan pasal untung rugi saja.
Ia tentang bagaimana kita terlalu terikat dengan masa lalu —
dan tak sedar kita sebenarnya sedang halang masa depan sendiri.
Soalan reflektif yang sama saya tanya kepada klien, saya tinggalkan juga untuk anda:
“Kalau awak mula dari kosong hari ini, adakah awak masih akan buat keputusan yang sama?”
Kalau jawapannya tidak —
mungkin dah tiba masa untuk ubah arah.
💬 Sunk cost fallacy bukan salah siapa-siapa.
Tapi kesedaran tentangnya boleh selamatkan kewangan — dan kadang-kadang, juga kehidupan.
