Baru-baru ini, seorang klien saya berkongsi sesuatu yang sangat menyentuh hati saya.
Katanya:
“Encik Rafiq, isteri saya ada cakap… nanti bila gaji saya naik, bolehlah kita tukar kereta baru. Dulu mungkin saya setuju je. Tapi sekarang saya teringat — Encik Rafiq pernah cerita yang Encik pakai Kelisa selama 17 tahun walaupun gaji masa tu lebih tinggi dari gaji saya sekarang.
Saya pun terbaca pasal Khairul Aming. Pendapatan dia juta-juta, tapi masih pakai Bezza je. Saya terus terfikir — kalau orang yang lebih mampu pun masih pilih untuk hidup ikut keperluan, kenapa saya nak berbelanja lebih-lebih?
Sekarang, saya buat keputusan untuk fokus kukuhkan simpanan dan langsaikan hutang dulu. Bila betul-betul ada keperluan, baru saya fikir semula pasal tukar kereta.”
Saya senyum bila dengar cerita ni. Bukan sebab nama saya dan Khairul Aming disebut dalam ayat yang sama (walaupun saya agak terkejut juga 😅). Tapi sebab saya nampak satu perkara penting — kesedaran.
Apa Yang Kita Boleh Belajar:
Gaji naik ≠ lifestyle mesti naik
Ramai orang terperangkap dalam “lifestyle inflation”. Bila gaji naik, terus rasa kena upgrade semua benda. Tapi hakikatnya, bila perbelanjaan naik sama laju dengan pendapatan — kita kekal di tempat yang sama.
Bezakan antara keperluan dan kehendak
Kereta ialah alat pengangkutan. Kalau yang sedia ada masih elok dan berfungsi, kenapa perlu ditukar hanya kerana “dah mampu”? Mampu beli tak sama dengan mampu tanggung.
Contoh terbaik kadang-kadang datang dari yang tak disangka
Bila orang yang berpendapatan tinggi pun buat keputusan kewangan secara sederhana, itu sebenarnya satu tamparan lembut untuk kita semua. Ia bukan soal “tak mampu”, tapi soal memilih dengan bijak.
Jangan cepat ikut tekanan sekeliling
Hidup bukan perlumbaan siapa lebih hebat. Tenang dan bahagia datang dari keputusan yang kita buat dengan sedar, bukan kerana nak buktikan sesuatu pada orang lain.
Tapi beberapa hari lepas, iklan ni pula lalu depan mata:
📣 “Proton X50 dari RM79,200 – SUV Kompak Dengan Harga Mampu Milik Untuk Keluarga B40!”
Sekali imbas, memang nampak menarik:
✅ Design moden
✅ SUV, rasa “naik taraf”
✅ RM79,200 — kononnya “mampu milik”
Tapi mari kita bedah balik.
Kenapa ini mungkin keputusan yang kurang bijak untuk ramai orang?
1. “Mampu milik” bukan semestinya mampu tanggung.
RM79,200 untuk keluarga B40 bukan kecil. Kalau ambil loan 9 tahun, bayaran bulanan boleh cecah RM900–RM1,000 sebulan. Itu belum campur:
- Insurans/takaful: RM1,500–RM2,500 setahun
- Road tax, servis, tayar, minyak, parking, tol
❗ Total kos pemilikan boleh mencecah RM1,300–RM1,500 sebulan.
Untuk gaji RM3,000–RM4,000 sebulan? Itu lebih 30%–40% pendapatan. Bahaya.
2. Beli sebab “layak loan” ≠ mampu.
Ramai beli sebab bank luluskan pinjaman. Tapi bank tak ambil kira semua komitmen sebenar kita — anak sekolah, sewa rumah, ibubapa, keperluan harian.
3. FOMO dan tekanan sosial
Iklan macam ni pandai main psikologi. Guna ayat seperti “mampu milik untuk B40” seolah-olah nak yakinkan kita: “Kalau tak beli, rugi. Semua orang boleh beli.”
Padahal, kunci kewangan sihat bukan terletak pada apa yang kita mampu beli. Tapi apa yang kita rela lepaskan demi masa depan yang lebih stabil.
Kesimpulan:
Saya bukan anti-kereta baru. Tapi biarlah pembelian ikut keperluan dan kapasiti sebenar, bukan ikut trend, emosi atau iklan.
Sebab realitinya, ramai yang beli kereta kononnya “naik taraf hidup”, tapi akhirnya terpaksa downgrade banyak benda lain — simpanan kosong, tak cukup dana kecemasan, hutang kad kredit makin tinggi.
“Kalau kereta baru buat hidup makin sempit, lebih baik teruskan dengan yang lama, dan bina hidup yang lebih lapang.”
